KUCHING: Penularan wabak Covid-19 mencetuskan kesuraman dalam persiapan sambutan Hari Deepavali pada tahun ini dan memberi impak kepada kemerosotan perniagaan di India Street.
Ketakutan yang membelenggu masyarakat berikutan penularan wabak tersebut telah mengakibatkan jumlah pelanggan berkurang dan hasil jualan semakin merosot.
Hidayatulla Bin Basher, 50, seorang peniaga kain menyatakan bahawa perbezaan jumlah pelanggan India yang berkunjung ke kedai tersebut sangat jauh jika dibandingkan dengan jumlah pelanggan India yang berkunjung ke kedai tersebut sebelum musim pandemik tersebut.
“Sebelum pandemik, India Street sememangnya kurang mendapat tumpuan pembeli India akan tetapi setelah pendemik, langsung tiada pembeli India yang datang ke kedai.
“Sebelum pandemik mereka akan datang untuk membeli kain untuk persiapan sambutan Hari Deepavali akan tetapi semenjak pandemik, langsung tiada pembeli India yang berkunjung bahkan pembeli biasa hanya seorang dua yang datang,” jelasnya ketika ditemui Utusan Sarawak petang semalam.
Abdul Wahib, 43, seorang peniaga rempah ratus turut menyatakan rasa kecewa kerana jumlah pelanggan yang membeli barangan runcit dan rempah ratus di kedainya semakin berkurang.
“Penularan wabak tersebut telah mengakibatkan ramai orang membatalkan majlis-majlis penting dan ia mengurangkan jumlah pelanggan yang membeli bahan-bahan runcit termasuk rempah ratus.
“Selain itu, pihak katering juga sudah kurang berkunjung bagi membeli barang dan hasil jualan juga semakin merosot. Sebelum ini, beberapa pelanggan India datang ke sini untuk membeli pelbagai barang akan tetapi selepas pandemik, mereka langsung tidak kelihatan,” ujarnya.
Di samping itu, Kalaivani a/p Periasamy, 25, seorang tentera turut menyatakan sambutan Hari Deepavali pada tahun ini memberikan perbezaan yang begitu ketara jika dibandingkan dengan tahun lepas.
“Sambutan Deepavali masih diteruskan akan tetapi mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan ia memberikan kelainan yang begitu ketara.
“Misalnya jika melakukan ibadah di kuil, jumlah orang dikawal dan tidak dapat berkumpul secara beramai-ramai seperti sebelum ini.
“Aktiviti ziarah menziarahi dalam jumlah yang ramai tidak dapat dilakukan dan ia mengakibatkan sambutan tahun ini menjadi tidak meriah,” jelasnya ketika ditemui Utusan Sarawak di India Street semalam.
Oleh RYNNA SHA’ERRA