
SEOUL: Bekas ahli kumpulan WINNER, Nam Tae-hyun, dijatuhi hukuman penjara selama satu tahun selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk pada kelajuan melampau, lebih dua kali ganda had laju yang ditetapkan.
Mahkamah Daerah Barat Seoul turut mengenakan denda sebanyak 1 juta won (kira-kira RM4,000) atas kesalahan melanggar Akta Lalu Lintas Jalan Raya serta pertuduhan berkaitan.
Dalam penghakimannya, mahkamah menyatakan tahap bahaya yang ditimbulkan adalah “sangat tinggi”, sekali gus memerlukan hukuman yang tegas.
Bagaimanapun, mahkamah tidak mengeluarkan waran tahanan kerana mendapati tiada risiko tertuduh memusnahkan bukti atau melarikan diri.
Walaupun Nam mengaku bersalah dan menunjukkan penyesalan, mahkamah memberi penekanan terhadap keseriusan kesalahan, khususnya aspek pemanduan pada kelajuan ekstrem.
Menurut fakta kes, Nam memandu pada kelajuan 182 kilometer sejam di jalan yang mempunyai had laju 80 kilometer sejam, iaitu melebihi had sebanyak 102 kilometer sejam ketika kejadian.
Insiden itu berlaku kira-kira 4.10 pagi pada 27 April tahun lalu berhampiran Jambatan Dongjak di Gangbyeonbuk-ro.
Ketika cuba memotong kenderaan lain, beliau dilaporkan hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan di tengah.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut. Namun, ujian mendapati kandungan alkohol dalam darah Nam berada pada paras 0.122 peratus, jauh melebihi had pembatalan lesen di Korea Selatan iaitu 0.08 peratus.
Kes ini sekali lagi mencetuskan perhatian terhadap isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol di negara itu, khususnya melibatkan figura awam, ketika pihak berkuasa terus memperketatkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan. – AGENSI