
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon China, Esther Yu teruja untuk menyahut cabaran baharu sambil menyatakan hasrat meneroka pelbagai watak dan jalan cerita dalam projek akan datang.
Mengakui dirinya kian matang sejak memulakan kerjaya dalam dunia hiburan pada 2016, Yu, yang nama sebenarnya Yu Shuxin, 30, berkata beliau kini menumpukan pada ketelitian dalam kerjanya bagi menyampaikan yang terbaik kepada penonton di seluruh dunia.
“Saya terbuka kepada pelbagai peluang dan berharap dapat menonjolkan sisi lain diri saya kepada peminat di masa akan datang,” katanya menerusi penterjemah pada program iQIYI Starship 2026 di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penampilannya pada acara anjuran iQIYI Antarabangsa itu juga menandakan kemunculan sulung beliau di negara ini dan menerima sambutan hangat daripada lebih 1,000 hadirin termasuk peminatnya.

Foto: Bernama
Yu yang juga Duta Global iQIYI Antarabangsa memikat peminat tempatan dengan menyapa mereka dalam bahasa Melayu “Apa khabar? Saya Esther Yu” serta beberapa lagi ungkapan termasuk “Aku cinta padamu”.
Yu yang berkongsi pentas dengan personaliti tempatan antaranya Jestinna Kuan, Rasyidah Abu Johan serta Moses Wong, turut menyertai cabaran menari tarian zapin.
Populariti beliau di Asia Tenggara kian meningkat, terutamanya selepas kejayaan drama terbitan iQIYI, Speed and Love yang turut menyaksikan Yu menerima gelaran watak wanita paling popular dalam drama Cina moden menerusi wataknya Jiang Mu pada Anugerah iQIYI Malaysia 2025.
Mengulas watak itu, Yu berkata beliau terpilih memainkan peranan tersebut, antaranya disebabkan oleh persamaan beliau dengan Jiang Mu yang beliau gambarkan sebagai “comel dan sedikit nakal”.

“Cabaran utama adalah ketika menjayakan babak emosi, terutamanya adegan menangis selain perlu memaparkan watak dari usianya 18 tahun hingga 27 tahun. Saya perlu mengimbangi lakonan supaya tidak kelihatan terlalu kebudak-budakan, namun tetap realistik dan meyakinkan,” katanya.
Yu yang mula mencipta nama dalam dunia lakonan menerusi drama seperti Love Between Fairy and Devil, My Journey to You and Sword and Fairy, menggambarkan peminat di Malaysia sebagai sangat sopan dan berbudi bahasa selain meluahkan penghargaan atas sambutan hangat yang diterimanya.
“Saya sangat gembira dapat bertemu peminat di Malaysia. Saya berasa begitu disayangi dan berharap dapat kembali ke sini tidak lama lagi,” katanya yang tidak menolak peluang melakukan penggambaran di Malaysia.
Drama terbaharu beliau Road to Success dan Yun Chu Ling akan disiarkan di platform iQIYI tidak lama lagi. – Bernama