
BEKENU: Ketiadaan hujan sejak beberapa minggu lalu, tangki air kering, serta air sungai yang masin menyebabkan lapan rumah di Kampung Sinop Hilir, Ulu Sungai Sibuti, menghadapi kesukaran bekalan air bersih.
Wakil penduduk, Azman Khamis, berkata seramai 38 penduduk telah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bekalan air bersih melalui pemasangan paip sejak 2018, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang kemudahan tersebut.
Katanya, berdasarkan siaran media Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) pada 19 Julai 2022, sebuah projek dikenali sebagai Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dari kawasan Siwak ke Jalan Pesisiran Pantai Miri telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), dengan JBALB Sarawak sebagai agensi pelaksana.

“Projek yang dianggarkan bernilai sekitar RM39 juta itu turut merangkumi Kampung Sinop (Hilir),” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.
Mengulas lanjut, Azman berkata kedudukan kampung yang berhampiran laut menyebabkan penduduk berdepan dua situasi sukar, terutama ketika musim kemarau.
“Apabila kemarau, kami memang sukar mendapatkan bekalan air bersih kerana air sungai menjadi masin dan telaga pula kering.
“Penduduk terpaksa membeli air mineral setiap minggu di pasar dengan kos yang tinggi,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kami mohon agar masalah ini diberi perhatian serius kerana kampung lain di Daerah Subis telah pun menikmati bekalan air bersih,” tambahnya.
Oleh Adum Liu