
KUCHING: Sebanyak 54 projek Persekutuan di Sarawak dengan nilai keseluruhan RM3.323 bilion sedang dipantau oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) di bawah Jabatan Kerja Raya Malaysia.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 122 projek Persekutuan di Sabah dan Sarawak dengan nilai RM7.38 bilion yang kini diselia oleh 167 pegawai PPK2.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 68 projek dilaksanakan di Sabah manakala 54 projek di Sarawak, namun dari segi nilai, Sarawak mencatatkan jumlah lebih tinggi iaitu RM3.323 bilion berbanding Sabah RM2.805 bilion.
“Perbezaan ini disumbang oleh pelaksanaan projek berskala besar di Sarawak khususnya dalam sektor kesihatan.
“Sebagai contoh, terdapat lima projek kesihatan di Sarawak bernilai RM736 juta berbanding hanya satu projek di Sabah bernilai RM85 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) semalam.
Mengulas pecahan sektor, Ahmad berkata projek pendidikan juga menjadi komponen utama dengan 13 projek sekolah di Sarawak bernilai RM982 juta, manakala Sabah mempunyai 30 projek sekolah bernilai RM1.079 bilion.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan prestasi pelaksanaan projek setakat ini berada pada tahap baik dengan majoriti projek berjalan lancar.
“Sebanyak 35 projek di Sarawak dikategorikan sebagai lancar, manakala hanya satu projek dikenal pasti sebagai projek sakit iaitu lewat melebihi 20 peratus,” jelasnya.
Tambah beliau, pada 2025, sebanyak sembilan projek di Sarawak telah berjaya disiapkan dengan nilai RM263 juta, manakala bagi tahun ini dianggarkan sekitar 15 projek lagi akan siap di negeri ini daripada keseluruhan 30 projek yang dijangka siap di Sabah dan Sarawak.
Namun katanya, dua cabaran utama yang dikenal pasti dalam pelaksanaan projek ialah kekurangan bekalan bahan binaan serta kos diesel industri yang tinggi, yang boleh memberi kesan kepada kelancaran dan kos projek.
“Walaupun tiada arahan menghentikan kerja, kemungkinan berlaku perlahan kemajuan kerja dalam pelaksanaan projek apabila kontraktor membuat pelarasan kos susulan kenaikan harga bahan dan diesel,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat