
KUCHING: Pemain industri tempatan digesa tampil ke hadapan untuk mengukuhkan rantaian bekalan bahan binaan di Sarawak yang kini berdepan kekangan serius, sekali gus menjejaskan kelancaran projek pembangunan serta meningkatkan kos pembinaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kekurangan pembekal tempatan khususnya bagi komponen penting seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), bahan kemasan serta bahan binaan lain menyebabkan industri di negeri ini terlalu bergantung kepada bekalan dari Semenanjung.
Menurut beliau, situasi itu bukan sahaja memperlahankan proses pembinaan, malah menjadikan kos lebih tinggi dan kurang kompetitif.
“Di Sarawak hanya terdapat satu pembekal IBS, manakala bahan lain seperti jubin, pintu kalis api, bumbung, rangka aluminium dan blok AAC pula tidak mempunyai pembekal tempatan yang mencukupi.
“Keadaan ini menyebabkan bekalan tidak stabil, harga meningkat dan tempoh pembinaan menjadi lebih panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatannya ke Pejabat Pasukan Projek Khas 2 Sarawak, Wisma Hong hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa lebih ramai pemain industri termasuk sektor swasta untuk melabur dan membangunkan kapasiti pembekalan di Sabah dan Sarawak bagi mengurangkan kebergantungan luar.
Dalam pada itu, Ahmad turut menegaskan bahawa isu kos diesel bagi kegunaan industri menjadi satu lagi tekanan besar kepada sektor pembinaan di kedua-dua negeri.
Katanya, walaupun harga diesel bersubsidi untuk pengguna di Sabah dan Sarawak adalah RM2.15 seliter, sektor industri masih perlu membeli pada harga pasaran semasa sekitar RM6.72 seliter.
“Ini memberi tekanan kos yang tinggi kepada kontraktor kerana hampir semua jentera berat dan operasi pembinaan bergantung kepada diesel.
“Kita akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terhadap isu ini,” jelasnya.
Beliau turut memberi amaran kepada pembekal agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga bahan binaan secara tidak munasabah, terutamanya apabila situasi global kembali stabil.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad memaklumkan sebanyak 122 projek Persekutuan sedang diselia di Sabah dan Sarawak dengan nilai keseluruhan RM7.38 bilion, termasuk 54 projek di Sarawak bernilai RM3.323 bilion.
Menurutnya, setakat ini kebanyakan projek berjalan lancar, namun dua cabaran utama iaitu kekurangan bekalan dan kos diesel tinggi perlu segera ditangani bagi memastikan projek tidak mengalami kelewatan serius.
Oleh Shahrul Qaizat