
DARO: Penganjuran Hari Bersama Pelanggan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bukan sahaja menjadi platform interaksi dua hala, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk menyuarakan pandangan dan maklum balas secara terus kepada pihak pengurusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, program itu signifikan dalam memperkukuh komunikasi yang lebih telus dan berkesan, sekali gus membina kepercayaan masyarakat terhadap peranan TBS.
“Saya menzahirkan penghargaan kepada Tabung Baitulmal Sarawak atas komitmen berterusan menganjurkan program berimpak tinggi kepada masyarakat, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara institusi dan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Hari Bersama Pelanggan dan Ramah Tamah Aidilfitri Pejabat Perhubungan Daro TBS 2026 di Dewan Serbaguna Kampung Tekajong, semalam.
Menurutnya, TBS memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan dana umat Islam dilaksanakan secara amanah, telus dan berimpak tinggi, khususnya dalam membantu golongan asnaf, memperkasa pendidikan serta meningkatkan kebajikan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat Islam.
Tambahnya, setiap sumbangan daripada penyumbang dan pembayar zakat merupakan tanggungjawab sosial besar yang perlu diurus dengan integriti bagi memastikan manfaatnya sampai kepada golongan yang memerlukan.
Beliau turut menegaskan kejayaan dan keberkesanan institusi berkenaan bergantung kepada sokongan semua pihak termasuk pembayar zakat, penerima bantuan dan rakan strategik.
“Saya menggesa masyarakat agar terus berurusan melalui saluran rasmi bagi memastikan setiap urusan dilaksanakan secara sistematik, telus dan berintegriti,” ujarnya.
Safiee turut memaklumkan bahawa TBS komited menambah baik penyampaian perkhidmatan termasuk mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan bantuan serta meningkatkan ketelusan pengurusan dana.
“Maklum balas pelanggan amat penting sebagai asas penambahbaikan berterusan agar perkhidmatan kekal relevan dan memenuhi keperluan semasa,” katanya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Igan, Ahmad Jonnie Zawawi, Pegawai Daerah Daro, Zul Usup, Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Sarawak Bahagian Mukah, Osman Immun, Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos, Pegawai Agama Islam Daerah Daro, Ustaz Anas Sarip, Setiausaha Majlis Daerah Matu Daro, Chiong Siew Ping serta Pegawai Penerangan Daerah Daro, Syahrulizan Madian. Oleh Akun Giman