DIRINYA pernah diselubungi kontroversi apabila memperkenalkan teknik mewarna ukiran kayu sehingga dilabel sebagai ‘perosak’ seni warisan itu.
Namun, pemilik Seni Kayu Warisan Burhan Ashari berkata, beliau tetap meneruskan karyanya itu kerana yakin berada di pihak yang benar malah optimis tindakannya itu akan memartabatkan lagi seni ukiran kayu di negara ini, khususnya di Terengganu.
“Kejadian itu berlaku empat tahun lepas ketika saya baru pulang dari Pattani, Thailand dan melihat sendiri hasil seni ukiran kayu berwarna yang dikatakan telah berusia ratusan tahun.
“Sekembalinya saya ke Terengganu, saya terus mewarnakan ukiran kayu dan memuat naik hasilnya dalam laman Facebook, siapa sangka ia menjadi perdebatan yang agak besar dalam kalangan penggiat seni ukiran tanah air. Pelbagai kritikan pedas saya terima dan ada juga komen positif yang memuji hasil ukiran kayu berwarna tersebut.
“Namun, akhirnya teknik ini diterima ramai setelah saya memberi penjelasan melalui ceramah dan bengkel kraf yang diadakan kerana ia adalah warisan budaya nenek moyang kita yang telah lama dilupakan,” katanya ketika ditemui Bernama di bengkelnya dekat Kampung Pulau Rusa di sini.
Bapa kepada lima anak itu berkata generasi terdahulu mewarnakan ukiran kayu menggunakan pati daripada buah-buahan dan herba seperti pinang dan kunyit untuk menghasilkan warna kuning, bunga senduduk (ungu) dan kulit manggis (merah).
“Namun, pengukir di Malaysia amat jarang mewarnakan ukiran kayu mereka…mungkin beranggapan ia bukan warisan nenek moyang kita, sedangkan kita yang tidak tahu bahawa teknik itu telah ada sejak lama dulu dan kita tidak meneruskannya.
“Sehubungan itu, langkah saya memperkenalkan kembali ukiran kayu berwarna ini diharap dapat memperluaskan lagi pasaran seni ukiran kayu dan memberi lebih banyak pilihan kepada peminat,” katanya.
Mengikut data Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Seni Kayu Warisan milik Burhan adalah satu-satunya syarikat yang menghasilkan ukiran kayu berwarna di permukaan ketika ini.
Burhan mempunyai enam pekerja untuk membantunya menyiapkan pelbagai jenis tempahan termasuk daripada pengusaha resort dan rumah persendirian di seluruh negara.
Mengakui tempahan yang diterima sedikit terjejas sepanjang tempoh pasca-Covid-19 ini, Burhan yang berusia 66 tahun menegaskan beliau masih mampu bertahan dalam industri ini kerana minat dan kecintaan yang tinggi terhadap seni ukiran kayu.
“Sejak saya memulakan perniagaan ini pada tahun 2005, matlamat saya bukanlah keuntungan semata-mata, namun saya mahu mengangkat martabat seni ukiran kayu di persada dunia.
“Siapa lagi yang hendak berbangga dengan identiti dan warisan nenek moyang kita?…sebab itu saya sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong ke bengkel ini untuk melihat sendiri keunikan seni ukiran kayu negara kita,” katanya yang hanya menggunakan kayu cengal kerana ia lebih tahan lasak dan berkualiti tinggi.
Ditanya mengenai masa depan ukiran kayu, Burhan berkata ia boleh pupus dalam masa 20 hingga 30 tahun lagi sekiranya kerajaan negeri tidak mengambil langkah proaktif dalam memulihara seni itu.
“Saya sangat berharap agar ada satu undang-undang yang akan mewajibkan semua pemilik premis komersial seperti hotel, premis perniagaan atau bangunan kerajaan untuk menerapkan unsur tradisional atau seni warisan sama ada ukiran kayu, batik atau songket.
“Pelaksanaan undang-undang itu nanti dapat memastikan pemain industri ini mampu ‘bernafas’ dalam mengharungi waktu sukar dalam perniagaan semasa Covid-19,” katanya yang turut aktif dalam Persatuan Penggiat Seni Ukir Malaysia. – Bernama