
KUCHING: Seramai 111,826 pekerja dalam sektor pembinaan di Sarawak bergantung kepada kelangsungan projek yang dilaksanakan oleh 10,824 kontraktor di negeri ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keutamaan kerajaan bukan hanya membantu kontraktor, sebaliknya memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara.
Menurutnya, lebih 10,000 kontraktor di Sarawak perlu disokong agar operasi dapat diteruskan dan pekerja tidak terjejas.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kenaikan harga minyak memberi kesan langsung kepada kos pembinaan yang ditanggung kontraktor.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar dividen kerajaan daripada sektor minyak dan gas negara ditingkatkan kepada RM25 bilion tahun ini bagi menyokong pelbagai inisiatif bantuan.
Katanya, sektor berkenaan mencatat keuntungan bersih sebanyak RM45.4 bilion, namun dividen yang diagihkan ketika ini sekitar RM20 bilion.

“Dengan keuntungan yang tinggi, adalah wajar untuk meningkatkan dividen kepada RM25 bilion bagi membantu pelaksanaan program yang meringankan beban industri,” ujarnya.
Jelas beliau ketika penularan pandemik COVID-19, negara berdepan cabaran besar, namun sektor minyak dan gas masih mampu menyumbang kira-kira RM50 bilion dalam bentuk dividen kepada kerajaan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat oleh Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sarawak di sini, pagi tadi.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata bekalan bahan binaan tempatan adalah mencukupi, namun peningkatan kos pengangkutan menyebabkan harga keseluruhan projek meningkat.
Tambah beliau, harga diesel yang tinggi terutama di Semenanjung memberi kesan kepada penggunaan jentera berat, sekali gus menambah kos operasi kontraktor.
Oleh Norman B