
SIBU: Sikap tidak serik membawa padah apabila dua lelaki masing-masing didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Sibu hari ini selepas mengaku bersalah merokok di kawasan larangan yang telah diisytiharkan.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu turut berdepan hukuman penjara selama dua minggu sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan. Bagaimanapun, mereka telah membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa di bawah Seksyen 16(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang dibaca bersama Peraturan 3(4) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pengisytiharan Kawasan atau Tempat Larangan Merokok) 2024, yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 jika sabit kesalahan.
Fakta kes yang dikemukakan oleh Pegawai Penyiasat, PPKP Nurhana Johari mendedahkan kedua-dua individu terbabit merupakan pesalah berulang yang mengulangi kesalahan sama dalam tahun ini.
Menurut fakta kes, mereka sebelum ini pernah dikenakan kompaun bagi kesalahan sama pada 2025, namun gagal menunjukkan perubahan apabila terus melanggar peraturan ditetapkan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Unit Inspektorat dan Perundangan Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu bersama Pasukan Teras Pendakwaan Sarawak, Maswel Lenard Thomas dan Flexvious Ajax Jeffery yang memohon hukuman berbentuk pencegahan.
Pihak pendakwaan menegaskan tindakan pentadbiran sebelum ini tidak mencukupi untuk mengubah tingkah laku tertuduh, malah kesalahan berulang itu dilihat memperlekehkan undang-undang serta mendedahkan orang awam kepada bahaya asap rokok di kawasan larangan.
Sehubungan itu, mahkamah dimohon mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran, selain memberi amaran bahawa pelanggaran berterusan terhadap undang-undang kesihatan awam tidak akan dikompromi.
Oleh Tarani Lanting