
PERBADANAN Perhutanan Sarawak (SFC) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung pendaratan spesies marin disyaki yu kemejan di sebuah jeti di Bintulu termasuk meneliti identiti bot, lokasi tangkapan sebenar dan rantaian pengendalian spesimen tersebut.
Kejadian itu mencetuskan kebimbangan susulan kemungkinan penglibatan spesies marin bernilai pemuliharaan tinggi yang disenaraikan di bawah kawalan perdagangan antarabangsa dan berisiko terjejas akibat tekanan tangkapan berlebihan.
Yu kemejan atau dikenali sebagai wedgefish merupakan antara spesies marin yang mempunyai kadar pembiakan rendah dan mudah terdedah kepada ancaman eksploitasi, malah sebahagian spesies dalam kumpulan ini dikategorikan sebagai Sangat Terancam (Critically Endangered) dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Selain itu, spesies berkenaan turut disenaraikan di bawah Appendix II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) yang mengawal perdagangan antarabangsa bagi memastikan kelangsungan spesies tersebut di habitat semula jadi terus terpelihara.
Sehubungan dengan itu, SFC kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti sebenar spesimen yang didaratkan termasuk mengesan lokasi tangkapan serta pihak yang terlibat dalam rantaian pengendalian hasil tangkapan tersebut.
Wartawan Utusan Sarawak, Earl Anek mendapatkan penjelasan lanjut daripada Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berhubung perkembangan siasatan dan implikasi kejadian tersebut terhadap usaha pemuliharaan biodiversiti marin di Sarawak, hari ini.

Soalan (S): Setakat ini, adakah SFC telah memperoleh sampel fizikal spesimen yang didaratkan di Bintulu untuk analisis morfologi atau DNA bagi pengesahan identiti sebenar spesies tersebut?
Abang Arabi:
SFC telah mengenal pasti spesies tersebut melalui gambar yang tular dan maklumat daripada orang awam. Namun, kami masih dalam proses pengesahan lanjut untuk memastikan identiti tepat spesies tersebut secara rasmi.
S: Berapakah tempoh yang lazim diperlukan untuk proses pengesahan saintifik spesies seperti yu kemejan, khususnya apabila melibatkan spesies yang sukar dikenal pasti melalui imej sahaja?
Abang Arabi:
Proses pengesahan ini biasanya mengambil masa antara beberapa hari hingga beberapa minggu bergantung kepada keadaan sampel yang ada serta keperluan ujian makmal termasuk ujian DNA jika perlu.
S: Apakah perkembangan terkini siasatan SFC berhubung lokasi sebenar pendaratan spesimen tersebut serta pihak-pihak yang terlibat dalam rantaian pemilikan atau pengendaliannya?
Abang Arabi:
Siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk mencari lokasi sebenar ikan itu didaratkan.
Kami juga sedang mengesan identiti bot serta semua pihak yang terlibat dalam mengendalikan ikan tersebut bermula dari masa ia ditangkap sehingga dibawa ke jeti.
S: Adakah terdapat petunjuk awal sama ada spesies berkenaan ditangkap di perairan Sarawak atau kemungkinan berasal dari kawasan luar sebelum didaratkan di jeti tempatan?
Abang Arabi:
Maklumat awal menunjukkan ikan ini didaratkan oleh bot tempatan dan dipercayai ditangkap di kawasan laut dalam menggunakan peralatan perikanan komersial. Kami akan menyemak rekod perjalanan bot untuk mengesahkan lokasi tangkapan yang sebenar.
S: Sekiranya spesies tersebut disahkan sebagai yu kemejan yang disenaraikan di bawah Appendix II CITES, apakah bentuk tindakan penguatkuasaan yang boleh dikenakan terhadap individu atau pihak terlibat?
Abang Arabi:
Jika sah ia adalah spesies dilindungi, sebarang aktiviti menangkap, menyimpan atau menjual tanpa permit adalah satu kesalahan besar di bawah Peraturan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
Pelaku boleh dikenakan denda atau kompaun, barang dirampas dan didakwa di mahkamah.
S: Apakah cabaran utama yang dihadapi SFC dalam memantau pendaratan spesies marin dilindungi di kawasan pesisir, khususnya di jeti yang aktif dengan aktiviti perikanan komersial?
Abang Arabi:
Antara cabaran utama SFC adalah jumlah jeti pendaratan yang sangat banyak di sepanjang pantai Sarawak. Selain itu, aktiviti perikanan yang beroperasi 24 jam sehari menyukarkan pengawasan di setiap lokasi pada setiap masa.
S: Adakah SFC melihat kemungkinan spesies seperti ini didaratkan bagi tujuan perdagangan bernilai tinggi seperti sirip atau eksport, yang berpotensi melibatkan rangkaian perdagangan hidupan liar tidak sah?
Abang Arabi:
Spesies ini mempunyai nilai pasaran yang tinggi untuk bahagian tertentu seperti sirip. Tanpa pengawasan ketat, ia boleh membuka ruang kepada aktiviti perdagangan hidupan liar yang tidak sah dan merosakkan imej perikanan kita.
S: Sejauh manakah tangkapan spesies seperti yu kemejan boleh memberi kesan jangka panjang terhadap populasi spesies terancam serta keseimbangan ekosistem marin di perairan Sarawak?
Abang Arabi:
Yu kemejan membiak secara perlahan dan mempunyai bilangan anak yang sedikit. Sebagai pemangsa utama, kehilangan spesies ini akan merosakkan rantaian makanan laut dan dalam jangka panjang menjejaskan hasil laut serta pendapatan nelayan sendiri.
S: Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh komuniti nelayan, pengusaha jeti dan pemborong dalam membantu pihak berkuasa mencegah pendaratan spesies marin dilindungi?
Abang Arabi:
Kami dapati tahap kesedaran mengenai spesies marin yang dilindungi masih rendah dalam kalangan nelayan dan peniaga. Ini menyebabkan ada tangkapan tidak dilaporkan kerana mereka menganggapnya sebagai hasil laut biasa.
S: Adakah SFC merancang memperkukuh pemantauan atau memperkenalkan garis panduan tambahan di lokasi pendaratan utama bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan?
Abang Arabi:
SFC akan memperketat kawalan di jeti-jeti utama dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain. Kami juga akan memperluas program kesedaran supaya masyarakat lebih faham dan tidak lagi menangkap spesies yang dilindungi.
Kesimpulan
Siasatan terhadap pendaratan spesies disyaki yu kemejan di Bintulu menunjukkan kepentingan pemantauan berterusan terhadap aktiviti pendaratan hasil laut bagi memastikan spesies marin dilindungi tidak dieksploitasi secara tidak terkawal.
Pendekatan menyeluruh melibatkan penguatkuasaan undang-undang, pemantauan pendaratan serta peningkatan kesedaran awam amat penting bagi memastikan kelangsungan biodiversiti marin Sarawak terus terpelihara demi menjamin sumber perikanan negeri kekal lestari untuk generasi akan datang.
Oleh Earl Anek