
KUALA LUMPUR: Anak perempuan bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan tidak mengisytiharkan pegangan saham dalam lima syarikat pada 2023.
Asnida Abdul Daim, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Asnida didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] bertarikh 8 November 2023.
Notis itu telah dihantar kepada Asnida oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan pegangan saham seperti yang dinyatakan.
Pegangan saham itu melibatkan lima syarikat, iaitu Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 13 Disember 2023 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda yang boleh sampai RM100,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Asnida memohon jumlah jaminan lebih rendah, iaitu kira-kira RM15,000 serta membantah syarat tambahan berkenaan penyerahan pasport.
“Anak guam saya telah mendedahkan 16 hartanah, namun inilah hartanah yang tidak didedahkan kerana syarikat terbabit tidak aktif dan dalam proses gulung tikar.
“Tentang pasport, saya rasa penting untuk diingat, adakah terdapat risiko tertuduh akan melarikan diri dari negara ini? Saya fikir tidak masuk akal kerana tertuduh sudah berumur lebih 60 tahun,” kata Gurdial.
Menjawab perkara ini, Mahadi memberitahu mahkamah bahawa Asnida telah dua kali gagal hadir ke ibu pejabat SPRM untuk rakaman percakapan pada 13 Februari dan 11 Mac 2026 dan hanya hadir semalam, iaitu selepas dipanggil untuk kali ketiga.
“Ini menunjukkan kebarangkalian untuk tertuduh melarikan diri daripada menjawab pertuduhan di mahkamah, oleh itu kami berpendapat jumlah jaminan yang disyorkan adalah munasabah.
“Kami juga mohon syarat tambahan berkenaan pasport dibenarkan. Tertuduh boleh ke luar negara, cuma tertakluk kepada permohonan pasport di mahkamah,” kata Mahadi.
Hakim Rosli menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan semula kes. – Bernama