Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Tun Tuanku Bujang: Dari pentadbir kepada Gabenor
  • KOLUMNIS

Tun Tuanku Bujang: Dari pentadbir kepada Gabenor

Utusan Sarawak 12 hours ago

SALAH satu peristiwa penting berlaku pada April dalam sejarah Sarawak ialah pelantikan Gabenor Kedua Sarawak selepas merdeka iaitu Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang Tuanku Othman. 

Pelantikannya sebagai Gabenor Sarawak, bagi mengantikan Tun Abang Openg yang meninggal dunia pada Mac 1969.

Pemilihan beliau sebagai Gabenor Sarawak yang kedua merupakan satu keputusan yang tepat, memandangkan jasa dan sumbangannya kepada Sarawak amat besar sejak sebelum pembentukan Malaysia lagi.

Walaupun nama Tun Tuanku Bujang jarang diketengahkan dalam sejarah Sarawak sebelum merdeka, beberapa catatan ringkas yang wujud tetap memperlihatkan bahawa beliau merupakan seorang yang berdedikasi, tekun dan komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Oleh itu, tidak menghairankan apabila beliau dipilih sebagai gabenor, kerana pengalaman luasnya dalam selok-belok pentadbiran serta keupayaannya memahami denyut nadi rakyat telah membentuk beliau sebagai seorang pemimpin yang berkaliber. 

Oleh itu, adalah wajar untuk diperincikan latar belakang Tun Tuanku Bujang bagi memperlihatkan bagaimana pengalaman sejarah telah membentuk keperibadian beliau sebagai seorang pemimpin berwibawa di Sarawak.

Latar belakang

Tun Tuanku Bujang merupakan golongan bangsawan Sarawak yang lahir pada 12 Disember 1898 di Sibu. Melihat kepada tarikh lahir ini menunjukkan bahawa beliau menempuh pelbagai era dalam sejarah Sarawak. 

TUN Datuk Patinggi Tuanku Bujang Tuanku Othman.

Beliau berkahwin dengan Rajemah Gafar pada 1934. Kerjaya awalnya bermula dalam bidang keselamatan apabila dilantik sebagai Penolong Sub-Inspektor Percubaan (Probationary Assistant Sub Inspector) pada Ogos 1927, ketika berusia 29 tahun. 

Semasa menjawat jawatan tersebut, beliau telah menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh komitmen dan berkesan.

Sehubungan itu, enam tahun selepas pelantikan awalnya, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Inspektor Percubaan pada Ogos 1933. 

Bakat dan kepimpinan beliau semakin menyerlah apabila dipindahkan ke Perkhidmatan Sivil Sarawak sebagai Pegawai Bumiputera (Native Officer).

Antara manifestasi kecekapan beliau dalam perkhidmatan keselamatan ialah kejayaannya menumpaskan seorang individu yang mengamuk, yang telah membunuh seorang wanita dan mencederakan lima orang lain di Bazar Sibu pada April 1934.

Susulan keberaniannya itu, beliau dianugerahkan Conspicuous Bravery Medal oleh Raja Vyner Brooke pada September 1934.

Ketokohan beliau sebagai pentadbir yang cekap semakin diperakui menerusi pelantikannya sebagai Majistret Kelas IV pada November 1934, sekali gus membuktikan kredibilitinya dalam sistem perundangan dan pentadbiran pada waktu itu.

Pada Ogos 1941 pula beliau dipinjamkan ke Sarawak Ranger sebagai leftenan.

Semasa pendudukan Jepun di Sarawak, pihak Jepun telah memanfaatkan kebolehan beliau sebagai seorang pentadbir. Dalam tempoh tersebut, beliau kembali menjawat jawatan tinggi dalam pentadbiran kerajaan Sarawak.

British

Walaupun terkesan dengan penyerahan Sarawak kepada koloni British, kewibawaan Tun Tuanku Bujang tetap diakui apabila beliau diserap masuk ke dalam barisan pentadbiran.

Kemuncak pengiktirafan tersebut dizahirkan menerusi penganugerahan gelaran Datu kepada beliau pada Jun 1954.

British juga melihat beliau cukup berpengalaman dalam pentadbiran. Beliau pernah diberi tanggungjawab dalam pelbagai tempat di Sarawak termasuk Bintulu, Tatau, Miri, Simanggang dan Sibu. 

Kerjayanya dalam bidang pentadbiran terus meningkat apabila kerajaan British menaikkan pangkat beliau sebagai Pegawai Pentadbiran Sarawak pada Jun 1955, sebelum dilantik ke jawatan dalam perkhidmatan kanan pada Disember 1956.

Jasa beliau dalam pentadbiran Sarawak terus diiktiraf oleh British apabila pada Januari 1957, beliau dianugerahkan MBE (Member of the Order of the British Empire). 

Pada usia sekitar 62 tahun beliau telah bersara dalam perkhidmatan awam Sarawak. Walaupun tidak lagi terlibat dalam pentadbiran kerajaan, pihak British menganugerahkan pula OBE (Officer of the Order of the British Empire) kepada beliau pada 1962.

Malaysia

Apabila suasana politik di Sarawak semakin matang, ditambah pula dengan pengumuman rancangan Malaysia, Tun Tuanku Bujang mengambil langkah proaktif dengan menerajui gerakan parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA). 

Hal ini menunjukkan beliau cukup prihatin mengenai masa depan Sarawak terutamanya tentang kemerdekaan Sarawak. 

Beliau membawa BARJASA untuk memberi sokongan kepada rancangan Malaysia. Meskipun begitu, beliau tidak menerima cadangan tersebut tanpa penelitian rapi.

Sebagai langkah proaktif, beliau telah mengetuai delegasi BARJASA ke Pulau Pinang dan Perak bagi melakukan penilaian dan memahami struktur pentadbiran di Tanah Melayu dengan lebih jelas.

Selepas Malaysia dibentuk Tun Tuanku Bujang telah dipilih sebagai senator dalam Dewan Negara. Pelantikannya mewakili Sarawak selama dua tahun.

Pada 1967, beliau dianugerahkan Pingat Setia Mahkota (PSM) oleh Yang di-Pertuan Agong. Semasa lawatan Yang di-Pertuan Agong ke Sarawak pada 1968 pula, Tun Tuanku Bujang dianugerahkan Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri.

Kebajikan

Selain kecemerlangan dalam ranah pentadbiran dan politik, ketokohan Tun Tuanku Bujang turut dizahirkan menerusi penglibatan aktif beliau dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan. 

Dalam hal ini Tun Tuanku Bujang pernah menjadi pengerusi kepada Tabung Masjid Besar Sibu dan Tabung Masjid Song.

Rentetan daripada latar belakang kehidupannhya, jelas menunjukkan bahawa Tun Tuanku Bujang merupakan sosok yang berdedikasi tinggi.

Keunggulan hasil kerja beliau bukan sahaja membuktikan kompetensi kendiri, malah menjadi faktor pendorong kepada pelantikannya dalam pelbagai portfolio pentadbiran yang lebih mencabar.

Tambahan daripada itu perkhidmatan beliau yang cemerlang ini juga membantunya diiktiraf sebagai pentadbir yang dihormati. Hal ini boleh ditunjukkan dengan pingat-pingat yang dianugerahkan oleh kerajaan kepada beliau. 

Untuk lain keluaran wacana ini akan terus menjejak peranan beliau sebagai Gabenor Kedua Sarawak. 

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Keselamatan penerbangan moden bergantung pada gabungan teknologi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.