Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Replika naga api 295 kaki jadi tumpuan perarakan Dewa Seng Ong Khamis ini
  • TEMPATAN

Replika naga api 295 kaki jadi tumpuan perarakan Dewa Seng Ong Khamis ini

Utusan Sarawak 18 hours ago
PERASMIAN…Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyempurnakan upacara perasmian sebagai persediaan bagi sambutan perarakan Hari Lahir Dewa Seng Ong, Khamis ini. Foto Nadya Victoria 

KUCHING: Hior Huay Liong, replika naga api buatan tempatan sepanjang 295 kaki, menjadi tarikan utama dalam perarakan Hari Lahir Dewa Seng Ong pada Khamis ini, selepas melalui upacara perasmian dan simbolik menitik mata naga api di Tokong Hong San Si, semalam.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, perarakan berusia lebih satu abad itu kini tidak lagi terhad kepada amalan keagamaan semata-mata, sebaliknya berkembang sebagai lambang perpaduan masyarakat di negeri ini.

“Ini bukan sekadar perarakan tokong, tetapi satu keberkatan untuk Sarawak. Kita dapat melihat penyertaan daripada komuniti lain termasuk Melayu dan Dayak, yang menggambarkan semangat perpaduan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan upacara tersebut, di Tokong Hong Sang Si, semalam.

TARIKAN UTAMA… Replika naga api, Hior Huay Liong sepanjang 295 kaki yang bakal menjadi tarikan utama perarakan Hari Lahir Dewa Seng Ong pada Khamis ini. Foto Nadya Victoria

Beliau menegaskan bahawa penyertaan pelbagai kaum dan agama dalam acara tersebut jelas mencerminkan keharmonian yang menjadi kekuatan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata replika naga sepanjang 295 kaki berkenaan berpotensi diiktiraf dalam Buku Rekod Malaysia, selain mengetengahkan elemen tempatan seperti burung kenyalang sebagai simbol identiti negeri.

Dr Sim turut menyifatkan perkembangan industri kraf tempatan sebagai satu kemajuan positif apabila pembuatan kepala naga dan singa kini banyak dihasilkan oleh tenaga mahir dalam negeri.

“Dahulu kita bergantung kepada import kerana kekurangan kepakaran, namun kini kita mampu menghasilkan sendiri dengan ciri-ciri Sarawak. Dengan itu dapat menunjukkan perkembangan bakat tempatan,” ujarnya.

DATUK Amar Dr Sim Kui Hian, Datuk Seri Richard Wee dan, Dato Wee Hong Seng, ditemui pemberita selepas perasmian upacara tersebut, semalam. Foto Adele Rissa

Penganjur upacara keagamaan itu, Persatuan Hokkien Kuching akan menampilkan pelbagai persembahan menarik termasuk tarian naga dan singa, selain penglibatan kumpulan kebudayaan seperti Guan-Jiang-Shou dari Miri, kumpulan Hadrah Sri Melati serta wakil komuniti etnik pribumi Sarawak.

Presiden persatuan tersebut, Datuk Seri Richard Wee memaklumkan perarakan akan bermula sekitar 3.30 petang, melalui laluan kebiasaan meliputi Padungan, Jalan Gambier dan kawasan berdekatan sebelum kembali ke tokong di Jalan Wayang.

“Perarakan dewa yang dijangka bermula sekitar 6.30 petang, kesemua peserta dinasihatkan untuk hadir lebih awal bagi melancarkan penyusunan barisan,” katanya. 

Antara kelainan tahun ini ialah kehadiran naga api yang direka khas, dengan keseluruhan tubuhnya sepanjang 295 kaki akan dipasang colok bagi membolehkan penganut melakukan persembahan di sepanjang struktur tersebut.

Penganjur juga mendedahkan sambutan amat menggalakkan dengan semua slot penyertaan dipenuhi dalam tempoh singkat, sekali gus menunjukkan sokongan berterusan masyarakat serta kepercayaan mendalam terhadap Dewa Seng Ong.

Dilihat sebagai usaha memelihara warisan budaya masyarakat, perarakan ini kekal sebagai antara acara tahunan signifikan selain menjadi tonggak utama acara keagamaan di Kuching. 

Majlis berkenaan sekali gus menandakan bermulanya secara rasmi perarakan tahunan itu yang dijangka mencatat kehadiran luar biasa, dengan penyertaan sebanyak 222 pasukan dari pelbagai latar belakang.

Oleh Adele Rissa 

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Mahkamah Mukah rasmi beroperasi, kemudahan moden tingkat kecekapan sistem kehakiman
Next: Program Kutipan Sisa Elektronik tawar ganjaran tunai di Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.