Masih ramai yang tidak mengetahui bahawa Miri mempunyai beberapa lokasi menyelam yang setanding dengan lokasi penyelaman lain di Malaysia. Keindahan dasar lautan dengan hidupan laut dan terumbu karang di sini juga mampu menarik penyelam-penyelam dari serata dunia.
Namun begitu, seperti lautan lain di seluruh dunia, lautan sekitar Miri turut terancam oleh pencemaran yang disebabkan oleh pembuangan sampah dan sisa buangan.
Bagi membantu meningkatkan kesedaran kepentingan terumbu karang serta situasi pencemaran lautan, Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) telah mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Kesedaran Terumbu Karang pada 22 September lepas.
Bengkel selama dua hari tersebut telah disertai oleh 15 orang penyelam skuba bertauliah yang terdiri daripada ahli NSJA, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Miri Divers Centre.
Menurut Presiden NSJA Andy Jong Wan Joon, aktiviti ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar, terutamanya terumbu karang di Taman Marin Miri-Sibuti yang merupakan salah satu lokasi pelancongan menyelam di Sarawak.
“Ia merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab khidmat sosial korporat (CSR) terhadap masyarakat tahun ini,’’ tambah beliau lagi, “dan seramai lima orang wakil media yang memiliki lesen menyelam telah menyertai bengkel yang turut membabitkan praktikal penyelaman di lokasi terumbu karang. Mereka telah dibantu dan disertai oleh pegawai Bomba serta sukarelawan Borneo Ghost Net Hunters dan Miri Divers Centre.”
Objektif utama Bengkel Kesedaran Terumbu Karang adalah untuk membina kesedaran awam dan pendidikan alam sekitar dalam usaha meningkatkan penghargaan terhadap ekosistem terumbu karang.
Selain itu, ia juga merupakan langkah penting dalam usaha pemulihan ekosistem terumbu karang, pembangunan pelancongan selam skuba yang sihat, selamat dan mampan serta melindungi persekitaran lautan termasuk kawasan persisiran dan pantai.
Bengkel telah dikendalikan oleh pengasas Future Ocean Borneo (FOB) PLT Iqbal Abdollah bertempat di ibu pejabat Bomba Miri dan ia bermula dengan pembentangan teori berkenaan terumbu karang, cara mengenalpasti jenis terumbu karang serta impak kewujudan terumbu karang. Turut ditayangkan adalah video berkenaan perbandingan ekosistem terumbu karang yang baik dan tidak baik.
Sesi selaman praktikal pula diadakan di kawasan Nemo City, Sunday Reef dan Siwa Reef di Taman Negara Marin Miri-Sibuti diketuai oleh Iqbal dan penyelam Miri Divers.
Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti terletak di sempadan maritim antara Bintulu dan Miri meliputi kawasan seluas 186,930 hektar, merupakan taman negara marin terbesar di Sarawak.
“Miri merupakan destinasi menyelam yang sedang mendapat perhatian, hasil dari koleksi terumbu karangnya yang cantik membentuk Taman Negara Marin Miri-Sibuti, dengan kedalamannya dari tujuh sehingga 30 meter serta mempunyai jarak penglihatan yang sederhana iaitu dari 10 sehingga 30 meter,” jelas Iqbal, ‘’di sini terdapat beberapa lokasi menarik untuk menyelam dan aktiviti menyelam adalah sepanjang tahun yang mampu menarik kedatangan pelancong dari luar negara.”
Beliau menambah, “tahun lepas (2019), NSJAjuga telah bersama-sama Borneo Ghost Net Hunters dan Future Ocean Borneo PLT menganjurkan tiga sesi program pembersihan terumbu karang serta berjaya membersihkan sebanyak 381kilogram pukat hantu di kawasan terumbu Taman Negara Marin Miri Sibuti tersebut. Pukat hantu adalah pukat yang ditinggalkan dan ia mengancam terumbu karang serta hidupan laut.’’
Salah seorang peserta yang juga merupakan pengerusi penganjur bengkel berkenaan Choa Yee Hui merasakan bahawa para peserta telah memperoleh banyak manfaat dan maklumat berguna sepanjang bengkel.
“Iqbal telah banyak membantu dalam berkongsi informasi dan kemahiran terutamanya bagi membezakan jenis terumbu karang,” ujar wartawan Sin Chew Daily tersebut, “kini saya dapat membezakan terumbu karang keras dan lembut dengan melihat jumlah sesungut pada setiap polip terumbu.”
Beliau menambah, “terumbu karang adalah hidupan yang sensitif dan sebagai seorang penyelam skuba, saya perlu memainkan peranan dalam menjaga dan memastikan terumbu karang sentiasa dalam keadaan sihat. Caranya adalah dengan mengelak tersentuh terumbu karang, kurangkan penggunaan krim pelindung matahari ketika menyelam, sebaliknya memakai pelindung lengan panjang dan kita perlulah sentiasa mempraktikkan cara penyelaman yang betul. Kewujudan terumbu karang yang sihat adalah salah satu elemen yang boleh memastikan bumi kita juga sihat.”
Bagi Iqbal, inisiatif yang diambil oleh NSJA dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti sebegini amatlah dihargai kerana pihak media adalah penghubung atau pengantara kepada orang awam yang majoritinya bukan penyelam dan mereka perlu tahu keadaan semasa dasar lautan.
“Kita harus menghargai, menjaga dan menyayangi alam sekitar kita kerana hanya ini yang kita ada untuk anak cucu kita nanti,” ujarnya, “ini bersesuaian dengan motto FOB PLT iaitu Saving Ocean for Future Generation – Memelihara Lautan untuk Generasi Akan Datang. Kerana itu, kami sentiasa bersedia untuk membantu membuka minda dan jalan secara berkongsi ilmu serta kemahiran.”
Oleh SOFIE SOFIAN FOTO: IQBAL ABDOLLAH