
SARATOK: Tindakan seorang lelaki tempatan yang cuba bertindak agresif bagi mengelak daripada ditahan polis mengundang padah apabila dia akhirnya dicekup dalam satu rondaan pencegahan jenayah di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie mengesahkan kejadian tersebut berlaku antara 12:00 tengah hari hingga 1:00 petang.
Menurut beliau, tangkapan dilakukan oleh anggota bertugas, Koperal Norizam dan Koperal Joshua, ketika sedang menjalankan rondaan rutin di sekitar kawasan pentadbiran Balai Polis Saratok.

Kejadian bermula apabila pihak polis menahan suspek yang berusia 27 tahun itu atas kesalahan lalu lintas.
Walau bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila lelaki tersebut enggan memberikan kerjasama dan mula bertindak agresif terhadap anggota polis yang menjalankan tugas.
Melihat kepada situasi yang tidak terkawal, pihak polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum bagi menahan subjek tersebut demi keselamatan semua pihak.
Suspek kemudiannya berjaya digari dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok untuk tindakan susulan.
Sejurus tiba di IPD, suspek telah dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk menjalani pemeriksaan lebih terperinci.
Gerak-geri mencurigakan suspek akhirnya terjawab apabila dia diminta menjalani ujian saringan awal air kencing.
Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mengesahkan bahawa lelaki berkenaan positif dadah jenis Amphitamine (Amph) dan Methamphetamine (Meth).
Keputusan itu membuktikan suspek berada di bawah pengaruh bahan terlarang ketika ditahan oleh pihak berkuasa.
Kes kini diserahkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat (AIO), Sarjan Roslinda Utubesar, untuk melengkapkan kertas siasatan.
Pihak polis sedang mengumpul maklumat tambahan bagi memastikan proses pendakwaan dapat dijalankan dengan lancar mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.
DSP Mathew Manggie menegaskan bahawa kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara untuk tempoh tidak melebihi dua tahun.
Oleh Adi Safarman