
KUCHING: Filem Jangkar memberi peluang kepada anak kelahiran Sarawak, Aniq Durar, menampilkan watak Korperal Haris dengan pendekatan realisme perang.
Berkongsi kepada Utusan Sarawak, Aniq mendedahkan cabaran latihan, persediaan watak, dan mesej penting filem ini: menghargai pengorbanan wira negara dan keamanan yang ada hari ini.
“Persiapan saya melibatkan latihan fizikal intensif termasuk cara membawa dan menembak senjata sebenar, sesuatu yang saya tidak pernah lakukan sebelum ini. Latihan ini memang mencabar tetapi saya menikmatinya sepenuhnya,” katanya.

Aniq, yang pernah berkhidmat di Jabatan Muzium Sarawak, berkata, beliau teruja kerana skrip filem ini menampilkan sejarah Sarawak, kisah di kawasan Jangkar, dalam melawan komunis.
“Saya memang meminati sejarah, jadi apabila diberitahu mengenai latar cerita Sarawak (filem Jangkar), saya berasa sangat teruja dan terikat dengan peranan ini,” ujarnya.
Walaupun bukan filem aksi pertamanya, pengalaman dalam Jangkar adalah unik kerana ia berasaskan sejarah Sarawak.
“Sebelum ini watak saya lebih bersifat administratif. Namun dalam filem Jangkar, watak saya seorang koperal yang berasal dari Semenanjung Malaysia.
“Jadi dalam filem nanti, saya akan lebih bertutur menggunakan dialek Melayu Semenanjung, sementara terdapat watak-watak lain bercakap dalam dialek Bahasa Melayu Sarawak,” katanya.
Aniq menegaskan filem ini menampilkan realiti peperangan sebenar dan bukan sekadar aksi dramatik.
“Kami cuba tunjukkan kebenaran dunia peperangan. Tiada hero handsome atau aksi berlebihan. Fokusnya adalah pada kemanusiaan dalam peperangan,” ujarnya.
Mengenai harapannya terhadap penonton, Aniq berkata: “Saya harap semua orang datang ke pawagam untuk menyokong filem ini. Ia bukan sahaja penting untuk Malaysia, tetapi juga untuk Sarawak. Bawa ibu, ayah, kawan-kawan, dan semua orang untuk menontonnya.”
Oleh Adele Rissa