
MIRI: Komuniti Lun Bawang di Ba’kelalan bakal menganjurkan Festival Padi Adan Ba’kelalan 2026 selama dua hari pada 24 hingga 25 April ini di Buduk Nur, sebagai tanda meraikan kejayaan musim menuai padi tanah tinggi yang terkenal dengan penanaman organik dan keaslian.
Festival tahunan itu turut menampilkan keunikan padi Adan yang telah menerima pengiktirafan Petunjuk Geografi (GI) pada 2022, sekali gus mengangkat amalan pertanian lestari yang diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Lun Bawang.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Jeffery Parang berkata, penganjuran kali ini membawa kelainan dengan pengenalan Sukan Sempadan yang bertujuan mengeratkan hubungan antara komuniti Lun Bawang di Sarawak dan Lun Dayeh dari Krayan, Indonesia.
“Festival tahun ini bukan sahaja meraikan hasil tuaian dan warisan Lun Bawang, tetapi juga menjadi jambatan persahabatan merentasi sempadan.
“Penyertaan komuniti Lun Dayeh dari Indonesia dalam sukan dan pertukaran budaya membuka lembaran baharu kepada hubungan serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Penghulu Yudan Meru memaklumkan bahawa festival berkenaan turut mendapat sokongan pemimpin wilayah Indonesia termasuk kehadiran camat (ketua daerah) dan ketua adat dari kampung jiran, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta keharmonian budaya.
Pengunjung yang hadir berpeluang menyelami tradisi Lun Bawang melalui pelbagai aktiviti interaktif seperti memasak dan membungkus Nuba Laya, menyediakan kopi beras, serta mempelajari seni pembuatan kelupis dan pansuh.
Selain itu, festival turut menampilkan pameran kraftangan tradisional, jelajah warisan sawah padi di kawasan Klalan, serta lawatan ke lokasi bersejarah seperti Memorial Konfrontasi di Long Langai, Telaga Garam Bukit dan Pa’ Sarui Viewpoint.
Suasana festival akan diserikan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian tradisional, alunan seruling dan irama gong oleh komuniti tempatan serta masyarakat Krayan dari Indonesia.
Pada sebelah petang, pelbagai acara sukan, pertandingan seni dan aktiviti pendidikan alam sekitar untuk kanak-kanak akan diadakan, manakala waktu malam pula dimeriahkan dengan persembahan muzik dan tarian.
Festival Padi Adan Ba’kelalan 2026 bukan sekadar acara menuai, tetapi menjadi simbol warisan, perpaduan serantau dan semangat komuniti tanah tinggi yang terus dipelihara.
Untuk maklumat lanjut,orang awam boleh layari laman Facebook Ba Kelalan Village Homestay atau Instagram @bakelalanvillagehomestay, atau hubungi Lisa Buing di 012-896187 dan Jeffery Balang di 013-8411001, atau emel ke sales@hobtours.com
Oleh Liong Chai Ling