
PUTRAJAYA: Kerajaan menggariskan tiga tindakan utama dalam memperkukuh daya tahan ekonomi Bumiputera khususnya dalam mendepani ketidaktentuan global susulan konflik geopolitik yang berlarutan di Asia Barat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengarahkan pendekatan lebih tegas, pantas dan bersasar melalui tiga tindakan, iaitu penilaian segera dan menyeluruh, intervensi bersasar serta berimpak tinggi serta pelaksanaan tegas dan berakauntabiliti.
Melalui pendekatan penilaian segera dan menyeluruh, semua agensi mandat Bumiputera perlu menilai impak merentas sektor kritikal seperti makanan dan agro, pembinaan serta logistik.
“Konflik ini memberikan tekanan langsung kepada ekonomi global, dan Malaysia tidak terkecuali dengan ketidaktentuan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos logistik yang terus menekan inflasi.
“Lebih membimbangkan, usahawan Bumiputera kini berdepan peningkatan kos operasi serta cabaran aliran tunai yang semakin ketara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Majlis Ekonomi Bumiputera (JPMEB) Bilangan 1 Tahun 2026 yang menumpukan kepada langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh daya tahan ekonomi Bumiputera hari ini.
Pengerusi JPMEB itu berkata, menerusi tindakan intervensi bersasar dan berimpak tinggi, kerajaan akan memperkukuh sokongan melalui pembiayaan fleksibel, insentif kos, pengukuhan rantaian bekalan tempatan serta penggunaan sumber domestik bagi mengurangkan kebergantungan luar.
“Selain itu, tiada ruang untuk kelewatan. Semua langkah mesti dilaksanakan serta-merta dengan pemantauan rapi dan pelaporan berkala.
“Setiap agensi bertanggungjawab memastikan intervensi ini sampai ke peringkat pelaksanaan dan memberikan kesan besar kepada usahawan Bumiputera,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata fokus jangka sederhana dan panjang akan dipacu melalui pendigitalan, pengukuhan keusahawanan generasi muda, perluasan akses pembiayaan serta penerokaan pasaran baharu.
“Kita perlu melangkah lebih jauh daripada tindak balas jangka pendek.
“Saya juga menegaskan keperluan penyelarasan yang lebih berkesan antara kementerian, agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) supaya setiap inisiatif benar-benar memberi impak dan tidak bertindan,” katanya.
Beliau berkata, cabaran ketika ini bukan sekadar krisis yang perlu ditangani tetapi satu titik perubahan yang menuntut kita berani melakukan penstrukturan semula.
“Inilah peluang untuk membina ekonomi Bumiputera yang lebih mandiri, lebih kukuh, dan lebih kompetitif dalam menghadapi masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak baik kerajaan mahupun institusi, industri dan pemain ekonomi untuk bergerak sebagai satu pasukan.
“Dalam suasana global yang tidak menentu ini, kita tidak boleh terus bergantung kepada kekuatan luar semata-mata. Kita mesti memperkukuh asas dalaman agar ia lebih tersusun, lebih berdaya tahan, dan lebih berkeupayaan mencipta nilai sendiri,” katanya. – Bernama