
JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Pertemuan itu berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.
Hadir sama pada pertemuan itu ialah Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri Datuk Muhammad Razman Abu Samah.
Beberapa keping gambar sesi menghadap itu turut dikongsikan dalam hantaran yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sementara itu, Shamsul Azri menerusi hantaran di Facebooknya merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda yang menerima beliau menghadap pada pagi ini.
Pada pertemuan itu, beliau mempersembahkan perkembangan terkini berkenaan projek-projek pembangunan Persekutuan di Johor untuk makluman Seri Paduka Baginda.
“Patik menjunjung titah Tuanku yang sentiasa menzahirkan keprihatinan terhadap pelaksanaan segera projek-projek berkepentingan rakyat, khususnya dalam memperkukuh pembangunan ekonomi negara dan negeri Johor,” katanya.
-Bernama