
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan sentimen terjejas oleh peningkatan ketegangan di Asia Barat serta ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.32 mata atau 0.25 peratus kepada 1,691.18 berbanding paras 1,695.50 ketika ditutup pada Jumaat.
Terdahulu, indeks penanda aras itu dibuka 1.18 mata lebih rendah pada 1,694.32.
Sentimen pasaran negatif dengan 273 kaunter rugi mengatasi 139 kaunter untung, manakala 337 kaunter tidak berubah, 1,898 tidak diniagakan dan 10 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 290.07 juta saham bernilai RM160.14 juta.
Hong Leong Investment Bank Bhd berkata risiko geopolitik kekal meningkat apabila pendirian Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang semakin agresif terhadap Iran, manakala harga minyak yang kekal kukuh terus menyemarakkan kebimbangan terhadap inflasi serta merumitkan prospek dasar.
“Minggu ini, tumpuan beralih kepada Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Perkhidmatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) Amerika Syarikat, data indeks harga pengguna (IHP) AS bagi Mac, minit Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), serta data awal sentimen pengguna, ketika pasaran menyeimbangkan risiko pertumbuhan dengan ketegangan berterusan di Asia Barat.
“Justeru itu, Bursa Malaysia dijangka kekal tidak menentu apabila pasaran terus menilai semula konflik Asia Barat yang berpanjangan dan kini memasuki minggu keenam,” katanya dalam satu nota hari ini.
Bank itu berkata harga tenaga yang tinggi susulan gangguan di Selat Hormuz dan infrastruktur utama Teluk Parsi turut menjejaskan selera risiko serta mengaburkan prospek pertumbuhan global.
“Sebagai pasaran yang bergantung tinggi kepada perdagangan, Malaysia menghadapi ruang kenaikan yang terhad, dengan KLCI dijangka kekal dalam julat tertentu dalam persekitaran yang rapuh dan dipacu berita.
“Bagaimanapun, asas domestik dijangka menjadi penstabil, disokong oleh disiplin fiskal, dasar monetari yang akomodatif, status Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga, serta pertumbuhan keuntungan yang kukuh,” katanya.
Sementara itu, paras sokongan mingguan dilihat pada 1,664–1,684 mata, manakala rintangan pada 1,705–1,730 mata.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM11.26, Public Bank dan CIMB masing-masing susut dua sen kepada RM4.64 dan RM7.47. Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM14.00, manakala IHH Healthcare merosot enam sen kepada RM8.90.
Antara paling aktif, Supermax naik satu sen kepada 36 sen, VS Industry susut satu sen kepada 17 sen, Top Glove meningkat setengah sen kepada 81.5 sen, AMBest naik lima sen kepada 40 sen, dan Sunway Medical turun empat sen kepada RM1.94.
Kaunter paling untung, antaranya MPI meningkat 50 sen kepada RM29.80, Petronas Chemicals naik 14 sen kepada RM6.04, PMB Technology menambah sembilan sen kepada RM1.55, MISC meningkat enam sen kepada RM8.31, dan UCHI Technology naik lima sen kepada RM2.60.
Bagi kaunter paling rugi pula United Plantation susut 14 sen kepada RM33.90, Kelington turun 11 sen kepada RM4.95, Telekom Malaysia merosot 10 sen kepada RM7.18, manakala Mulpha dan VSTEC masing-masing susut lapan sen kepada RM2.90 dan RM4.39.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 turun 34.69 mata kepada 12,216.43, Indeks FBM Emas merosot 36.23 mata kepada 12,355.93, Indeks FBM 70 susut 63.88 mata kepada 17,077.05, Indeks FBM Emas Shariah turun 43.27 mata kepada 12,226.29, dan Indeks FBM ACE merosot 21.77 mata kepada 4,288.15.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 36.68 mata kepada 19,813.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.16 mata kepada 184.59, Indeks Tenaga berkurangan 2.48 mata kepada 816.04, dan Indeks Perladangan susut 4.35 mata kepada 9,151.16.
-Bernama