KUCHING: Rangka Belanjawan 2021 yang dibentuk adalah berpaksikan misi untuk meringankan beban rakyat secara menyeluruh serta memacu perkembangan ekonomi tempatan pasca Covid-19.
Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata agihan peruntukan ini adalah sangat teratur dan terperinci khususnya dalam memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.
“Suntikan peruntukan melalui Belanjawan 2021 diperhalusi dengan penuh teliti sehingga merangkumi segenap sektor dan lapisan masyarakat yang terjejas termasuk para belia, ibu tunggal, usahawan kecil dan lain-lain, ekoran Covid-19 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Sempena Malam Penghargaan Lembaga Pengarah Majlis Seni Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.
Menurut beliau, Kerajaan telah menyediakan ruang yang cukup luas bagi sektor pelancongan untuk terus bernafas melalui peruntukan Belanjawan tersebut.
“Dalam sektor pelancongan, saya akui ramai yang terjejas teruk, namun kita juga tidak boleh mengharapkan peruntukan yang tertumpu kepada satu sektor sahaja.
“Saya faham ramai yang kurang senang kerana tiada peruntukan untuk prasaran besar diumumkan, tetapi kita kena melihat dari perspektif yang lebih kritikal pada masa ini iaitu pandemik Covid-19,” jelasnya lagi.
Mengulas lebih lanjut mengenai suntikan terhadap sektor pelancongan, Abdul Karim berkata ia adalah ruang untuk sektor ini melakukan penjajaran semula berkhususnya pelancongan tempatan.
“Tahap keyakinan pelancong asing untuk mengembara menurun ekoran pandemik ini, maka kita perlukan penstrukturan semula dalam menghidupkan sektor ini melalui pelancongan tempatan seperti Program Sia Sitok.
“Kita dapat lihat resort dan hotal mula dibanjiri pengunjung pada hujung minggu ekoran daripada subsidi penginapan yang kita (Kerajaan Negeri) sediakan.
“Ini secara tidak langusng telah membuka ruang rezeki kepada pemandu pelancong, pekerja hotel, perahu tambang untuk terus bertahan dalam belenggu pandemik ini sementara menunggu keadaan kembali reda,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa rakyat perlu melihat Belanjawan 2021 ini melalui perspektif yang lain dan terbuka kerana negara lebih memerlukan jaminan keselamatan dan peningkatan ekonomi berbanding yang lain buat masa ini.
Oleh Akmal Adib Yusup