Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Penetapan suhu penyaman udara minimum 24 darjah di bangunan kerajaan, langkah kecil, impak besar – Pakar
  • NASIONAL

Penetapan suhu penyaman udara minimum 24 darjah di bangunan kerajaan, langkah kecil, impak besar – Pakar

Utusan Sarawak 12 hours ago
PENETAPAN suhu penyaman udara minimum 24 darjah di bangunan kerajaan, langkah kecil, impak besar. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Penetapan suhu minimum 24 darjah Celsius bagi penyaman udara di semua pejabat kerajaan yang berkuat kuasa serta-merta disifatkan sebagai langkah yang praktikal, berasaskan sains dan mampu memperkukuh kecekapan tenaga negara.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Ir Dr Mohd Zainal Abidin Ab Kadir berkata, penetapan itu bertujuan mengurangkan fenomena penyejukan lebih yang meningkatkan penggunaan tenaga tanpa memberikan manfaat keselesaan yang signifikan.

Mohd Zainal yang juga Pengerusi Solar for University’s Research and Investment Accelerations (SURIA) UPM menjelaskan suhu 24 darjah Celsius berada dalam julat keselesaan bangunan antara 23 hingga 26 darjah Celsius, selain selari dengan amalan di beberapa negara lain seperti Jepun (28°C), Singapura (25°C) dan India (24°C).

“Secara teknikal, setiap kenaikan satu darjah Celsius boleh jimat lebih kurang tujuh peratus tenaga penyejukan. Jika dinaikkan dari 22 ke 24 darjah Celsius, ia boleh membawa kepada penjimatan sekitar 14 peratus suhu penyaman udara (A/C), sekali gus membawa penjimatan keseluruhan penggunaan elektrik bangunan sebanyak tujuh hingga lapan peratus,” katanya kepada Bernama.

 Justeru, penetapan ini bukan sahaja sesuai dengan iklim tropika Malaysia, malah mencapai keseimbangan terbaik antara keselesaan dan kecekapan tenaga.

Beliau berkata, walaupun tiada satu suhu yang boleh dianggap optimum untuk semua persekitaran kerja,  24 darjah Celsius ialah kompromi paling praktikal antara keselesaan dan kecekapan tenaga.

Dalam masa yang sama, Mohd Zainal melihat langkah ini bukan sekadar respons jangka pendek terhadap tekanan kos dan bekalan tenaga, tetapi selari dengan agenda jangka panjang negara dalam kecekapan tenaga.

Daripada perspektif teknikal dan tadbir urus pula, langkah itu juga sangat konsisten dengan agenda jangka panjang kecekapan tenaga kerana Malaysia kini telah mempunyai rangka kerja yang lebih formal melalui Energy Efficiency and Conservation Act 2024 (EECA 2024), yang menekankan pengurusan tenaga, audit, prestasi intensiti tenaga bangunan, pelantikan pengurusan tenaga dan pelan penambahbaikan kecekapan. 

“Walaupun pencetusnya ialah krisis tenaga semasa tetapi pelaksanaannya boleh dibaca sebagai sebahagian daripada normal baharu pengurusan tenaga bangunan sektor awam,” katanya.

Mengulas aspek pelaksanaan, Mohd Zainal yang juga Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Kilat, Kuasa dan Tenaga Termaju (ALPER) UPM mengakui cabaran utama bukan aspek dasar tetapi dari segi pemantauan dan sikap “bukan duit saya” oleh pengguna.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman berkata, pendekatan itu bukan sahaja realistik, malah selari dengan garis panduan kejuruteraan bangunan yang menetapkan julat suhu antara 23 hingga 26 darjah Celsius sebagai optimum dari segi keseimbangan keselesaan dan penjimatan tenaga.

Dalam konteks Malaysia sebagai negara beriklim tropika, suhu 24 darjah Celsius masih berada dalam julat selesa bagi kebanyakan pekerja dan tidak menjejaskan produktiviti jika dilaksanakan secara konsisten.

“Langkah ini boleh memberikan kesan segera kerana penggunaan penyaman udara merupakan komponen utama dalam bil elektrik bangunan berskala besar seperti pejabat kerajaan,” katanya 

Azlin berkata, selain membantu mengurangkan perbelanjaan utiliti kerajaan, langkah itu juga menjadi isyarat jelas kepada pengguna dan industri untuk menyesuaikan penggunaan tenaga secara lebih berhemat.

Beliau turut menegaskan impak pelaksanaan dasar itu akan menjadi lebih signifikan sekiranya sektor swasta, yang juga antara pengguna tenaga terbesar, turut dilibatkan secara menyeluruh.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata, kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketatkan termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah Celsius.

Langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memimpin melalui teladan dalam penggunaan tenaga secara berhemat, selain menjadi antara pendekatan proaktif dalam menghadapi krisis tenaga global. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Insentif pelaburan perlu beri manfaat kepada seluruh rantaian bekalan automotif – PVA
Next: Kemudahan internet dan fasiliti NADI boleh digunakan untuk BDR – Fahmi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.