
SARATOK: Cubaan seorang lelaki tempatan untuk meraih pendapatan sampingan melalui aktiviti perjudian haram membawa padah apabila dia ditahan pihak berkuasa dalam satu serbuan di kawasan Pekan Saratok, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie mengesahkan bahawa tangkapan tersebut dilakukan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok kira-kira 3.00 petang.
Operasi yang diketuai oleh Inspektor Hendry itu berjaya mengesan suspek yang sedang menjalankan aktiviti mencurigakan di lokasi berkenaan. Suspek merupakan seorang lelaki berusia 48 tahun yang beralamat di Krian, Saratok.
Hasil pemeriksaan lanjut di tempat kejadian, pihak polis berjaya merampas dua keping keratan kertas yang mengandungi catitan nombor, dipercayai merupakan tiket loteri awam haram yang digunakan dalam urusan pertaruhan tersebut.
Selain keratan kertas, polis turut menyita pen dakwat hitam jenama Faber-Castell serta wang tunai yang dipercayai hasil daripada aktiviti penjualan loteri tanpa lesen berkenaan.

Siasatan awal mendedahkan bahawa suspek bekerja sebagai tukang urut di sekitar kawasan Saratok.
Suspek turut dipercayai bertindak sebagai ejen jualan loteri awam haram bagi menambah pendapatan harian sebelum kegiatannya dihidu pihak polis.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek menunjukkan keputusan negatif, sekali gus mengesahkan suspek tidak berada di bawah pengaruh sebarang bahan terlarang ketika ditahan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953. Jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda atau penjara mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Saratok untuk tindakan lanjut dan proses dokumentasi.
DSP Mathew menegaskan akan terus memantau rapat aktiviti perjudian haram bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman komuniti setempat terpelihara.
Oleh Adi Safarman