
SIBU: Isu gangguan bekalan air di Sibu Jaya memerlukan perhatian segera serta pelan penyelesaian yang lebih menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan penduduk setempat terus terjamin.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing berkata, isu berkenaan bukan lagi bersifat terpencil, sebaliknya memberi kesan kepada kehidupan harian sebahagian besar penduduk di kawasan tersebut.
“Lawatan saya hari ini ke Sibujaya pada asalnya bertujuan untuk kunjungan muhibah sempena musim perayaan, namun saya menerima pelbagai maklum balas daripada penduduk berkaitan gangguan bekalan air yang masih berlaku.
“Situasi ini memberi kesan kepada kehidupan harian mereka termasuk keperluan asas seperti memasak serta aktiviti ekonomi kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, antara aduan yang diterima termasuk gangguan bekalan air berpanjangan yang menyebabkan penduduk terpaksa mendapatkan sumber alternatif, selain memberi kesan kepada peniaga kecil.
“Penduduk turut berkongsi kebimbangan mengenai situasi bekalan air yang tidak menentu serta impaknya terhadap kos sara hidup mereka.
“Sehubungan itu, mereka berharap penyelesaian yang lebih konsisten dapat dilaksanakan bagi memastikan bekalan air stabil,” jelasnya.
Justeru itu, beliau berharap agar Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dapat terus memperkukuh usaha sedia ada serta mempercepat pelaksanaan pelan penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu berkenaan secara berkesan.
“Penduduk berharap segala perancangan termasuk naik taraf loji rawatan air dan sistem bekalan dapat disegerakan demi keselesaan bersama,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan isu berkenaan pernah dibangkitkan sebelum ini termasuk pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), sebagai usaha memastikan perhatian berterusan diberikan kepada permasalahan tersebut.
Sehubungan itu, katanya, penduduk berharap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memandang serius isu ini serta campur tangan secara langsung dan mendesak agensi berkaitan mengambil tindakan segera.
“Penduduk ingin melihat lebih banyak sesi turun padang oleh pihak berkaitan bagi memahami keadaan sebenar di lapangan.
“Penduduk hanya mengharapkan bekalan air yang stabil dan mencukupi sebagai keperluan asas harian.
“Justeru, usaha bersepadu semua pihak amat penting bagi memastikan isu ini dapat ditangani secara tuntas,” katanya.
Oleh Tarani Lanting