
SIBU: Seorang lelaki berusia lingkungan 60-an kerugian RM190,800 selepas menjadi mangsa penipuan urusan pertukaran mata wang dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Azari Miskon berkata, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerima laporan berhubung kejadian itu semalam.
Menurutnya, kejadian dipercayai bermula pada Mac 2026 apabila anak mangsa yang bekerja di Papua New Guinea meminta bantuan bapanya untuk membuat bayaran ke beberapa akaun bank tempatan bagi tujuan pertukaran mata wang ringgit Malaysia kepada dolar Hong Kong.
“Anak mangsa dikatakan telah berkenalan dengan seorang individu dikenali sebagai ‘David’ menerusi aplikasi WhatsApp yang menawarkan kadar tukaran mata wang lebih tinggi daripada pasaran, sekali gus menjanjikan keuntungan lumayan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pada 2 April 2026, mangsa bersetuju membantu anaknya dan membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun bank tempatan yang diberikan suspek.
Bagaimanapun, selepas semakan dilakukan dengan rakan anak mangsa di Hong Kong, didapati wang tersebut tidak dimasukkan ke akaun seperti dijanjikan.
“Mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu apabila suspek gagal dihubungi sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, Azari menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran pertukaran mata wang yang menjanjikan kadar lebih tinggi daripada pasaran.
Beliau turut mengingatkan supaya tidak membuat sebarang pemindahan wang ke akaun individu yang tidak dikenali serta memastikan setiap transaksi kewangan disemak terlebih dahulu dengan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, orang ramai yang memerlukan nasihat atau maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 serta mengikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP dan @JSJKPDRM.
Selain itu, semakan akaun bank dan nombor telefon yang meragukan boleh dibuat menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.
Oleh Tarani Lanting