Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Audit penjualan diesel kekang ketirisan subsidi di Sabah
  • NASIONAL

Audit penjualan diesel kekang ketirisan subsidi di Sabah

Utusan Sarawak 8 hours ago
AUDIT menyeluruh penjualan diesel di Sabah diperluas untuk membanteras ketirisan subsidi, lindungi pengguna dan kestabilan harga.

KOTA KINABALU: Pelaksanaan audit secara menyeluruh terhadap rantaian penjualan diesel di Sabah, terutamanya di stesen minyak perlu dilaksanakan bagi membenteras ketirisan subsidi bahan bakar itu yang berpotensi menjejaskan kestabilan harga barangan dan kos sara hidup.

Presiden Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani berkata audit itu perlu melibatkan penelitian terhadap rekod jualan stesen minyak, termasuk jumlah liter diesel yang dijual serta pengesahan transaksi bagi memastikan bekalan disalurkan kepada golongan yang layak di bawah mekanisme subsidi bersasar.

Beliau berkata hasil audit itu membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan, terutamanya penyelewengan penjualan kepada pihak yang tidak layak menerima insentif oleh kerajaan, dan sekiranya terdapat pelanggaran tindakan tegas perlu diambil seperti penamatan operasi tanpa kompromi.

“Tindakan itu bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan pada masa sama perlu diperkukuh dengan memperkenalkan peraturan lebih ketat serta hukuman berat terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan sama ada penjual atau pembeli,” katanya kepada Bernama.

Pada 26 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga diesel telah meningkat susulan krisis tenaga global kini.

Nordin berkata ketirisan subsidi diesel boleh memberi kesan rantaian kepada ekonomi negeri khususnya di Sabah yang bergantung kepada pengangkutan logistik untuk pengedaran barangan keperluan.

Dalam aspek pemantauan, beliau berkata kerajaan perlu lebih proaktif dengan melaksanakan pemeriksaan terhadap rekod inventori, invois dan jualan syarikat bagi mengesan sebarang aktiviti penyorokan bekalan.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan situasi seperti ketika pandemik COVID-19 apabila terdapat pihak mengambil kesempatan menyimpan stok untuk dijual pada harga lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata dalam keadaan krisis tenaga global kini, kos diesel akan terus meningkat dan memberi impak langsung kepada kos logistik seterusnya mempengaruhi harga barangan dan menjejaskan pengguna terutama di kawasan luar bandar.

“Dalam keadaan sekarang ini, kesan ketidaktentuan global terhadap harga bahan api mungkin dirasai dalam tempoh terdekat, sekali gus memerlukan langkah mitigasi lebih awal oleh kerajaan,” katanya yang turut mencadangkan agar kerajaan menambah rizab bekalan diesel dan mengawal had pembelian bagi mengelakkan pembelian berlebihan yang boleh menyumbang kepada ketirisan.

Nordin juga mencadangkan agar pengusaha stesen minyak diberikan latihan khusus bagi meningkatkan keupayaan mengenal pasti modus operandi penyelewengan termasuk penggunaan kenderaan yang diubah suai.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan, rata-rata petugas stesen minyak tidak dapat mengenal pasti kenderaan telah diubah suai untuk menyeleweng minyak dan penguatkuasaan juga perlu dipertingkat melalui pemantauan berkala, operasi bersepadu serta kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau turut menegaskan kepentingan memperluas penguatkuasaan ke kawasan luar bandar yang didakwa kurang dipantau, sekali gus menutup ruang manipulasi harga dan penyelewengan.

Pada masa sama, beliau berkata penglibatan masyarakat sebagai “mata dan telinga” pihak berkuasa perlu diperkasa, termasuk melalui galakan penyaluran maklumat dan aduan secara terus.

“Penglibatan pemimpin masyarakat sesuatu kawasan termasuk ketua kampung penting dalam usaha membenteras penyelewengan diesel kerana mereka lebih dekat dengan komuniti.

“Usaha membanteras ketirisan diesel dan menstabilkan harga barangan bukan terletak pada bahu pihak berkuasa semata-mata tetapi semua pihak termasuk pengguna,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Tun Dr Ling Liong Sik meninggal dunia
Next: Bekalan makanan negara mencukupi, stabil – Mohamad Sabu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.