
PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara menerusi Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) melaksanakan inisiatif MADANI Berkhidmat: Misi Sukarelawan Siswa ke Sarawak 2026 bermula semalam hingga 20 April ini bagi menyemarakan lagi budaya kesukarelawanan, khususnya dalam kalangan belia.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu akan dilaksanakan di beberapa lokasi iaitu Miri (Telang Usan dan Bario), Sibu (Kanowit), Kapit (Song), Sri Aman (Melugu), Betong dan Batang Lupar (Pusa).
Beliau berkata semangat kesukarelawanan bukan terhad kepada khidmat bakti semata-mata tetapi turut menjadi wadah penting yang merapatkan jurang antara kaum, agama, wilayah dan latar belakang sosioekonomi.
“Melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, rakyat didorong untuk saling memahami, menghormati serta membina kepercayaan yang menjadi asas kukuh kepada perpaduan nasional,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Aaron berkata misi itu akan melibatkan pelbagai aktiviti berimpak tinggi termasuk program pendidikan komuniti, pembangunan belia, khidmat sosial serta inisiatif memperkasa kesejahteraan penduduk setempat.
Beliau berkata kementerian yakin bahawa usaha itu akan terus menjadi pemangkin kepada pembinaan negara bangsa yang bersatu padu, progresif dan berdaya tahan. – Bernama