Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Tun Dr Ling Liong Sik meninggal dunia
  • NASIONAL

Tun Dr Ling Liong Sik meninggal dunia

Utusan Sarawak 5 hours ago
FOTO Facebook Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR:  Bekas Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA Tun Dr Ling Liong Sik, 83, meninggal dunia pagi ini.

Perkara itu disahkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Kami menerima berita sedih mengenai Tun Dr Ling yang meninggal dunia hari ini. Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dr Ling dilahirkan pada 13 September 1943 di Kuala Kangsar, Perak.

Beliau mendapat pendidikan awal di King Edward VII School, Taiping sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi serta memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) daripada University of Singapore pada 1966.

Memulakan kerjaya sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Pulau Pinang sebelum aktif dalam politik dengan menyertai MCA pada 1968, Ling mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Ong Ee Nah, serta dikurniakan dua anak lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

Mendiang pernah menjadi Ahli Parlimen Mata Kuching selama tiga penggal dari 1974 hingga 1982 serta Ahli Parlimen Labis selama empat penggal dari 1986 hingga 1999.

Sepanjang tempoh itu, beliau memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan termasuk Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri Penerangan, Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Pendidikan.

Jawatan terakhir mendiang ialah sebagai Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari 1986 hingga meletak jawatan pada 2003.

Sepanjang perkhidmatan sebagai Menteri Pengangkutan, Dr Ling memainkan peranan penting dalam pemodenan pelabuhan negara termasuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan global sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia dalam perdagangan antarabangsa.

Beliau turut menyumbang kepada pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebagai pintu masuk utama negara.

Dalam parti, Dr Ling merupakan Presiden keenam MCA dan berkhidmat dari 3 September 1986 hingga 23 Mei 2003 sebelum dilantik sebagai Presiden Kehormat Seluruh Hidup pada 13 Jun 2003. 

Sepanjang tempoh kepimpinan, beliau memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan MCA dalam Barisan Nasional serta landskap politik negara.

Selain itu, mendiang turut aktif dalam bidang pendidikan dan korporat termasuk sebagai Canselor Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) serta Pengerusi Kolej Tunku Abdul Rahman.

Pada 2004, beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun.

– Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Affin Bank dapat kelulusan BNM ambil alih Pheim AM pada harga RM50 juta
Next: Audit penjualan diesel kekang ketirisan subsidi di Sabah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.