
HOUSTON, Amerika Syarikat: Empat angkasawan Artemis sedang meluncur menuju ke Bulan selepas pembakaran enjin utama dilaksanakan, sekali gus menandakan pencapaian penting yang mengikat NASA kepada penerbangan lintasan Bulan berawak pertama dalam tempoh lebih setengah abad.
Dengan daya tujahan yang cukup untuk memecutkan sebuah kereta dalam keadaan statik ke kelajuan lebuh raya dalam tempoh kurang daripada tiga saat, enjin kapsul Orion telah melancarkan angkasawan berkenaan ke trajektori menghala ke Bulan.
Dalam detik selepas pembakaran enjin yang disifatkan sebagai “sempurna” oleh agensi angkasa Amerika Syarikat itu, yang berlangsung hampir enam minit, angkasawan Jeremy Hansen berkata bahawa “kemanusiaan sekali lagi telah menunjukkan keupayaan kita.”
Para angkasawan memaklumkan bahawa mereka “terpaku di jendela” sambil merakam gambar, selain saling menyerahkan mikrofon terapung ketika menjawab soalan daripada rangkaian televisyen Amerika Syarikat.
Mereka turut menyatakan bahawa kapal angkasa itu agak sejuk dan masih dalam proses disesuaikan sebagai tempat tinggal, namun semua kru berada dalam keadaan ceria.
“Tiada apa yang dapat mempersiapkan seseorang untuk pengalaman menakjubkan melihat planet asal yang terang benderang seperti siang hari, serta cahaya Bulan yang menyinarinya pada waktu malam dengan pancaran matahari terbenam yang indah,” kata Christina Koch.
Pembakaran enjin pada Khamis itu berlaku sehari selepas roket Sistem Pelancaran Angkasa (SLS) berwarna jingga dan putih, yang membawa kapsul Orion, dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida bagi perjalanan yang sekian lama dinantikan mengelilingi Bulan.

Para angkasawan kini berada pada trajektori “kembali bebas”, yang memanfaatkan graviti Bulan untuk meluncur mengelilinginya sebelum kembali ke arah Bumi tanpa pendorongan tambahan.
“Mulai saat ini, hukum mekanik orbit akan membawa kru kami ke Bulan, mengelilingi bahagian jauh dan kembali ke Bumi,” kata pegawai NASA, Lori Glaze.
Para angkasawan memakai sut yang turut berfungsi sebagai “sistem kelangsungan hidup” dalam keadaan tidak dijangka seperti kehilangan tekanan kabin atau kebocoran, sut tersebut mampu mengekalkan bekalan oksigen, kawalan suhu serta tekanan yang sesuai sehingga enam hari.
Angkasawan berkenaan warga Amerika Syarikat Reid Wiseman, Victor Glover dan Koch, serta Hansen dari Kanada menghabiskan beberapa jam pertama di angkasa dengan menjalankan pemeriksaan serta menangani masalah kecil pada kapal angkasa yang belum pernah membawa manusia sebelum ini, termasuk isu komunikasi dan kerosakan tandas.
Menjawab soalan mengenai keadaan tandas, Koch berkata beliau “berbangga menggelarkan diri sebagai tukang paip angkasa.”
“Saya sering mengatakan bahawa ia mungkin peralatan paling penting di atas kapal,” katanya.
“Oleh itu, kami semua berasa lega apabila ia didapati berfungsi dengan baik.”
Anggota kru turut menjalani sesi senaman pertama dalam misi tersebut menggunakan peranti senaman roda tenaga di kapal angkasa, dengan setiap angkasawan memperuntukkan 30 minit sehari bagi mengekalkan kecergasan, sebagai usaha mengurangkan kehilangan otot dan tulang akibat ketiadaan graviti.
Misi selama 10 hari itu bertujuan membuka laluan ke arah pendaratan di Bulan pada 2028. – AFP