Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Gayong 2 uji stamina, semangat berpasukan Beto Kusyairi
  • HIBURAN

Gayong 2 uji stamina, semangat berpasukan Beto Kusyairi

Utusan Sarawak 7 hours ago
BETO KUSYAIRI memegang watak sebagai Cikgu Meor atau Meor Abdul Rahman dalam filem Gayong 2.

KUALA LUMPUR: Bersandarkan kejayaan pecah panggung dengan kutipan melebihi RM4 juta filem pertama,  Gayong 2 bakal menjengah layar perak bermula 9 April ini dengan Beto Kusyairi kekal sebagai peneraju utama.

Masih bergandingan dengan pasangan heroinnya yang juga aktres hebat Nabila Huda dalam karya yang diinspirasikan daripada kisah besar perjalanan hidup pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia,  Beto mengakui filem terbaharunya itu juga memberikan beliau cabaran tersendiri.

Jika sebelumnya pelakon berbakat besar itu berdepan dengan isu keyakinan diri untuk membawakan watak mahaguru silat gayung Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman semasa menjayakan naskah pertama, kali ini kekurangan rehat menjadi cabaran besar buat Beto dan semua yang terlibat termasuk kru produksi.

“Kita dah penat dengan penggambaran Gayong bahagian satu, kemudian rehat beberapa hari dan sambung terus (penggambaran). Jadi bukan pelakon saja, seluruh tenaga kerja agak penat.

“Namun, semangat kerja berpasukan seperti sebuah keluarga membantu kami mengharungi cabaran tersebut demi menghasilkan karya terbaik. Masing-masing dah sepakat untuk menjadikan karya ini yang terbaik, jadi walau apa sekalipun rintangan kita lalui sama-sama,” katanya.

BETO KUSYAIRI menyampaikan ucapan pada majlis Malam Gala dan Tayangan Perdana Filem Gayong 2.

Menemuinya selepas majlis Malam Gala dan Tayangan Perdana Filem Gayong 2 di sini baru-baru ini, Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan, berkata  aspek persediaan fizikal termasuk pemakanan turut diambil perhatian rapi bagi memastikan tahap kecergasannya di tahap optimum semasa menjayakan karya biopik aksi itu.

“Dalam masa yang singkat saya cuba mana yang termampu. Saya jaga pemakanan dan mengambil jurulatih untuk pembinaan otot manakala stamina pula memang kena cari sendiri sebab komitmen filem aksi ini panjang dan memenatkan,” kata Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-33 itu.

Berkongsi penggambaran Gayong 2 bermula tidak sampai seminggu selepas bahagian pertama siap, Beto berkata bagaimanapun situasi itu membantu dari segi persediaan fizikal dan penghayatan karakter.

“Sudah ada momentum di situ dan kita dah ada kematangan dari sudut karakter. Jadi, kita  hanya ikut saja momentum itu,” katanya.

Gayong 2 membawa penonton ke era selepas Perang Dunia Kedua dengan Meor Abdul Rahman tampil sebagai pengawai polis dalam pasukan polis British serta membongkar jaringan rasuah melibatkan Malcom, seorang pegawai kanan dalam pasukan berkenaan dan kaitannya dengan ketua gengster Lee Khoon.

BARISAN pelakon filem Gayong 2.

Sementara itu, diminta mengulas hasrat pempengaruh dan pelakon Norreen Iman yang ingin berlakon bersama-samanya, Beto berkata beliau sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelakon pelapis baharu selagi mereka menunjukkan keseriusan terhadap bidang lakonan.

“Kalau benda itu (kejayaan beliau dalam lakonan) memberi inspirasi kepada mereka untuk menaikkan (mutu lakonan) ataupun memberi inisiatif untuk membaiki lakonan mereka, alhamdulillah, teruskan.

“Saya (juga) tak pernah letakkan (diri) saya sebagai idola… bukan hak saya pun. Tapi kalau (pelakon pelapis) terinspirasi, alhamdulillah. Saya sokong pelapis-pelapis baharu yang ada potensi. Siapa lagi nak ganti kalau bukan mereka (pada masa depan),” katanya yang sememangnya dikenali sebagai karyawan berprinsip dan serius ketika bekerja.

Dalam pada itu, Beto mengakui beliau kini dalam fasa lebih selektif berhubung naskhah yang ingin disertainya selain memberi penekanan pada kekuatan skrip serta mesej yang boleh memberi manfaat kepada penonton.

“Di fasa ini, saya bukan lagi nak main ambil saja. Saya nak dapatkan kepuasan pada diri sebagai seorang pelakon dan skrip itu mungkin dapat memberi manfaat kepada orang yang menonton… itu yang saya nak sekarang,” katanya. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Sandra Lim tidak tolak kembali ke arena ratu cantik

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.