BINTULU: Guru mana yang tidak gembira melihat anak murid didikannya teruja dan menunjukkan minat dengan sesi pembelajaran dalam kelas.
Justeru, tidak hairan jika para guru bertungkus-lumus memikirkan cara baharu untuk menarik perhatian murid-murid agar terlibat sepenuhnya dalam proses pembelajaran.
Bagi pendidik yang berkhidmat di kawasan pedalaman pula, tugas mereka pasti begitu mencabar disebabkan kekangan dari segi infrastruktur.
Baru-baru ini, seorang guru di sebuah sekolah pedalaman di Belaga di sini berkongsi aktiviti yang dilakukan bersama anak muridnya di laman sosial, Facebook menjadi tular kerana mengundang rasa kagum warga setempat.
Menerusi gambar yang dikongsikan itu, sekumpulan murid dalam proses pembelajaran menggunakan teknologi aplikasi Augmented Reality (AR) untuk menghasilkan haiwan maya.
Muhd. Shahjeehan, 29, seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Segaham berkata, ketika itu beliau sedang mengajar anak-anak muridnya mengenai haiwan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI).
“Kebetulan Isnin lepas sekolah kami baru sahaja memasang wifi ConnetMe Now, jadi saya mencuba kemudahan tersebut untuk sesi pembelajaran saya.
“Sebenarnya, agak susah untuk mendapatkan capaian internet di sini, tapi ternyata cubaan saya berjaya dengan adanya kemudahan itu,” katanya yang turut memaklumkan bahawa kemudahan tersebut adalah sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga bagi memudahkan urusan talian di sekolah terbabit.
Menurut Shahjeehan, demonstrasi itu dilakukan di luar kelas yang mana murid-murid dapat terlibat sama dan berinteraksi secara aktif dalam proses pembelajaran.
“Murid-murid saya berasa seronok dan teruja kerana haiwan ditunjukkan nampak sangat nyata.
“Berbanding dengan melihat gambar di dalam buku teks sahaja, mereka hanya dapat membayangkan sahaja,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Sarawak semalam.
Selain itu, beliau memberitahu, anak murid juga berpeluang untuk bergambar dengan haiwan itu sekali gus menambahkan lagi kegembiraan mereka.
“Ini sesuatu yang baharu bagi mereka, jadi mereka berasa sangat gembira dan memberikan tumpuan penuh semasa kelas dijalankan,” ujar Shahjeehan yang sudah lima tahun mengajar di sekolah tersebut.
Oleh Carolyne Utih