
JAKARTA: Gunung Semeru, yang terletak di sempadan Kabupaten Lumajang dengan Malang, Jawa Timur, dilaporkan meletus sebanyak empat kali pada awal pagi ini, dengan kepulan abu mencecah ketinggian hingga 1,200 meter dari puncak.
Menurut laporan pegawai Pos Pemerhatian Gunung Berapi Semeru Sigit Rian Alfian, letusan pertama berlaku pada 12.32 tengah malam waktu tempatan namun tiada pemerhatian visual terhadap kepulan abu direkodkan.
“Aktiviti itu dikesan oleh seismograf dengan amplitud maksimum 22 milimeter (mm) dan tempoh 155 saat,” menurut laporan Agensi Berita ANTARA.
Sigit berkata letusan kedua direkodkan pada 4.02 pagi, dengan kepulan abu menjulang kira-kira 1,000 m di atas puncak atau 4,676 m dari paras laut.
“Kepulan abu itu diperhatikan berwarna putih hingga kelabu, bergerak ke arah barat dengan intensiti tebal. Aktiviti seismik menunjukkan amplitud maksimum 23 mm dan berlangsung selama 174 saat,” katanya.
Semeru, gunung tertinggi di Pulau Jawa, meletus semula pada 4.20 pagi, menghantar kepulan abu hingga 1,200 m di atas puncak (4,876 m dari paras laut).
Kepulan abu, yang juga berwarna putih hingga kelabu, bergerak ke arah barat daya dan barat, dengan amplitud seismik yang direkodkan 23 mm dan tempoh 169 saat,” katanya.
Letusan keempat berlaku pada 5.47 pagi, menghasilkan ketinggian kepulan abu yang serupa kira-kira 1,200 m di atas puncak.
Abu bergerak ke arah barat dengan rakaman seismik menunjukkan amplitud maksimum 23 mm dan tempoh 179 saat.
Sigit berkata Semeru kekal pada status aktiviti gunung berapi Tahap III (Awas).
– Bernama