
BEIJING: Pada 2025, Beijing mencatat kualiti udara terbaik sejak pemantauan bermula, dengan paras purata tahunan PM2.5 yang paling rendah dalam sejarah serta jumlah hari dengan kualiti udara baik yang mencatat rekod tertinggi, menurut pihak berkuasa alam sekitar tempatan.
Menurut laporan ekologi dan alam sekitar Beijing 2025 yang dikeluarkan pada Khamis, purata tahunan PM2.5 di bandar itu menurun kepada 27 mikrogram semeter padu, iaitu penurunan sebanyak 11.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, lapor Xinhua.
Bandar raya itu menikmati 311 hari dengan kualiti udara baik, bersamaan 85.2 peratus daripada jumlah hari dalam setahun. Hanya satu hari dengan pencemaran teruk direkodkan, yang merupakan jumlah paling rendah pernah dicapai, menunjukkan yang hari pencemaran serius hampir tiada.
Pencapaian ini menandakan perubahan besar berbanding tahun 2013, apabila Beijing mengalami 58 hari pencemaran teruk dan hanya 176 hari dengan kualiti udara baik.
Sejak itu, Beijing mempercepatkan transformasi hijau dengan melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan pembakaran arang batu, menggalakkan penggunaan kenderaan tenaga baharu, memperluas penggunaan elektrik hijau, mengurangkan pencemaran habuk dan bunyi, serta menyokong peralihan industri yang mencemarkan.
Kini, penambahbaikan alam sekitar tidak terhad kepada kualiti udara sahaja. Laporan itu juga menunjukkan yang kualiti air terus meningkat, dengan lebih 95 peratus sungai mencapai Kelas I hingga III. Kualiti air permukaan di China dibahagikan kepada lima kelas, dengan Kelas I merupakan kualiti tertinggi. Kualiti tanah kekal baik, dan persekitaran ekologi bandar itu terus bertambah baik secara berterusan.
Beijing akan terus mempergiat usaha pencegahan dan kawalan pencemaran, memperkukuh perlindungan ekosistem, serta mempercepat transformasi rendah karbon dalam sektor utama, kata Liu Baoxian, Timbalan Pengarah Biro Ekologi dan Alam Sekitar Perbandaran Beijing.
-Bernama