

KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya melaksanakan 21 operasi di bawah Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Chiller serta Op Taring Batas atau Awas sepanjang 16 hingga 31 Mac 2026, dengan nilai rampasan dianggarkan RM9.49 juta.
Komander PGA Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata operasi tersebut turut berjaya menumpaskan satu aktiviti penyeludupan dadah berskala besar melibatkan rampasan 28 kilogram ketulan kristal disyaki methamphetamine serta 1,250 gram katrij vape yang dipercayai mengandungi cecair dadah berasaskan ganja, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.58 juta.
Beliau berkata dua lelaki warga Indonesia telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Lim, kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam membanteras aktiviti penyeludupan di sempadan selain memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Tambahnya, tindakan tegas akan terus diambil tanpa kompromi terhadap mana mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barang kawalan.
Selain kes dadah, operasi tersebut turut mendedahkan kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barangan kawalan serta tidak bercukai seperti diesel bersubsidi, gula kasar, minyak masak, produk sejuk beku, minuman keras dan rokok tanpa dokumen atau permit sah.
Kegiatan ini dikesan dijalankan menggunakan premis, stor simpanan serta kenderaan bagi tujuan pengangkutan dan pengedaran.
Beberapa individu warga tempatan dan asing turut ditahan untuk siasatan lanjut. Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Ibu Pejabat Polis Daerah berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut undang undang sedia ada.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2026, Briged Sarawak PGA merekodkan sebanyak 182 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM117.47 juta serta 168 tangkapan melibatkan 127 warga tempatan dan 41 warga asing.
Oleh Connie Chieng