Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • SHInE 2026 perkasa Sarawak sebagai hab inovasi dan penyelidikan global
  • TEMPATAN

SHInE 2026 perkasa Sarawak sebagai hab inovasi dan penyelidikan global

Utusan Sarawak 11 hours ago
DATO Sri Roland Sagah Wee Inn bercakap pada pada sidang media pertama Persidangan Antarabangsa Sarawak SHInE 2026 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 11 September ini di sebuah hotel terkemuka di Kuching. Foto Norman B

KOTA SAMARAHAN: Sarawak bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai hab inovasi dan  penyelidikan global apabila menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Sarawak SHInE 2026 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 11 September ini di sebuah hotel terkemuka di sini.

Persidangan bertemakan Memajukan Sains, Kesihatan, Inovasi dan Kejuruteraan itu dianjurkan oleh Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) bersama anak syarikatnya, Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan negeri dalam memperkasa kecemerlangan penyelidikan serta memacu inovasi berimpak tinggi.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran SHInE 2026 merupakan langkah strategik untuk meletakkan Sarawak sebagai pusat tumpuan penyelidikan dan inovasi yang menggabungkan idea serta penyelesaian praktikal.

“Persidangan ini membuka peluang kerjasama, mencetus idea baharu dan membina jaringan yang mampu memberi impak sebenar kepada pembangunan negeri dan rantau,” katanya pada sidang media pertama persidangan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur SHInE 2026 yang juga Pengurus Besar SRDC, Dr Peter Morin Nissom berkata, penglibatan pakar daripada pelbagai bidang dijangka mampu melahirkan idea inovatif yang dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal.

Beliau menambah, persidangan ini sejajar dengan visi Sarawak dalam membangunkan ekosistem penyelidikan dan inovasi yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif SIDC, Profesor Madya Dr Ivan Yap Kok Seng berkata, SHInE 2026 berperanan sebagai pemangkin dalam menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi memacu impak sebenar dalam bidang sains dan kesihatan.

Menurutnya, SIDC menunjukkan perkembangan memberangsangkan sejak 2024 dengan lebih 30 rakan strategik terlibat walaupun pembangunan fasiliti masih berjalan.

“Kerjasama bersama UKSEA Vax Hub dan Asia PGI turut memperkukuh keupayaan Sarawak dalam penyelidikan vaksin, pembuatan serta genomik, selain memperkasa pendekatan ‘One Health’ bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pandemik,” ujarnya.

Sepanjang tiga hari penganjuran, lebih 300 peserta dijangka menghadiri persidangan tersebut dengan penyertaan lebih 30 penceramah pakar serta 30 sesi melibatkan pemimpin kerajaan, akademia dan industri.

Persidangan ini turut menampilkan penceramah dari Malaysia, United Kingdom, Australia, Kemboja, Singapura dan Taiwan, sekali gus mencerminkan penglibatan antarabangsa yang kukuh.

Antara penceramah utama termasuk Ir. Dr Angelia Liew San Chuin, Profesor Tuck Seng Wong dari UKSEA Vax Hub, Profesor Peter Eastwood dari Murdoch University, Australia serta Dato’ Ir. Profesor Dr Norlida Buniyamin.

Selain itu, SHInE 2026 akan menampilkan Program BrightSparX kendalian SRDC bagi memupuk bakat muda, di samping Anugerah Inovasi Premier’s BrightSparX yang mengiktiraf penyelesaian cemerlang daripada inovator baharu.

Persidangan ini juga bakal dimeriahkan dengan pameran melibatkan lebih 30 organisasi, sesi padanan perniagaan, lawatan teknikal serta pelancaran produk dan teknologi terkini dalam bidang sains dan penjagaan kesihatan.

SHInE 2026 dijangka menarik penyertaan pelbagai pihak termasuk pembuat dasar, pengawal selia, pemain industri, pelabur, penyelidik, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan serta golongan pelajar dan profesional muda.

Oleh Norman B

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Syarikat penerbangan Jepun naikkan surcaj bahan api penerbangan antarabangsa mulai Jun
Next: Naik taraf Dewan Suarah Kuching dan Stadium Sarawak ikut jadual, hadapi cabaran teknikal

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.