
GAYA dan teknik penulisan sering menjelmakan kelainan setiap kali penggunaan kata yang bertentangan dengan makna melalui situasi cerita. Kadang-kadang gaya dan teknik boleh menjadi kekuatan dan tidak mustahil juga menjadi kelemahan yang ketara.
Sifat karya yang bertunjangkan fiksyen sememangnya memerlukan banyak cakupan kelainan dan ini menuntut perubahan dari semasa ke semasa. Namun, perubahan yang mengelirukan atau yang tidak rasional akan menjerumuskan nilai karya pada kepelikan yang sukar diterima.
Apabila kita membaca sesuatu karya, kita ingin menikmatinya. Seperti kita menikmati makanan, kita sudah tentu akan mencari “sifat” sedap pada makanan tersebut. Tetapi, sebelum kita merasai kesedapan makanan, hal yang pertama membuka “pintu” sedap itu bermula dengan gaya dan teknik masakan serta cara hidangannya.
Konsep ini sama dengan tujuan kita membaca sesebuah karya, iaitu kita akan terjentik membaca setelah melihat atau meneliti kulit bukunya, judulnya, kenyataan pada blurb dan sebagainya.
Situasi ini juga berlaku apabila kita membaca sesebuah sajak. Apatah lagi dengan kesingkatan bahasa pada sajak memerlukan pancingan bermula dengan judulnya.
Kemudian kaedah penceritaannya melalui penggunaan kata atau diksi yang unik, aneh tetapi bermakna.
Andai penggunaan kata atau diksi yang “gah” atau “bombastik” tetapi kosong makna sama ada secara tersurat atau tersirat maka sajak itu hanya menjadi ungkapan yang bersifat luahan semata-mata.
Mungkin ramai dalam kalangan penulis sajak beranggapan bahawa semakin tinggi ambiguiti sesebuah sajak, maka semakin bernilai sajak berkenaan. Pandangan ini agak drastik dan tidak membawa gagasan sebenar wibawa kepengarangan itu sendiri.
Bayangkan, orang membaca karya kita tetapi tidak memahami apa yang kita tulis. Lebih rugi, pesanan dan hantaran mesej kita tidak sampai pada cara fikir dan tindak pembaca kerana disebabkan oleh ketidakfahaman tersebut.
Lantas, yang menjadi pertanyaan pada kita, adakah karya yang kita tulis untuk bacaan diri kita atau kita hendak kongsi dengan pembaca lain?
Kalau sebagai koleksi peribadi, maka teruskan berkarya dengan syok diri melalui pelbagai gaya dan teknik yang penuh bayang kata tetapi kabur makna.
Tetapi kalau karya yang kita tulis untuk menjadi renungan dan penghayatan pembaca lain, maka menjadi tanggungjawab penulis berlaku adil pada pembaca dengan menghasilkan karya dengan gaya dan teknik penulisan yang aneh dan pelik tetapi menjentik fikir dan perubahan.
Mengapa penghasilan sajak memerlukan gaya dan teknik penulisan yang sentiasa berubah?
Pertanyaan ini bukan desakan untuk setiap penulis melakukan peralihan gaya dan teknik setiap kali menghasilkan sajak, tetapi pertanyaan ini sebagai dorongan kita memahami bahawa genre sajak bertunjangkan penggunaan kata atau diksi yang benar-benar terpilih dan perlu disusun dalam ikatan ungkapan yang terbaik.
Apabila telah terbina dengan baik keperibadian serta stail tersendiri dalam penulisan, di situlah bermulanya ketekalan gaya dan teknik kita.
Hal ini menjadi sukar kerana kita sentiasa terpengaruh dengan gaya dan teknik orang lain melalui pembacaan atau kita terperangkap dengan keunikan pada gaya dan teknik orang tersebut.
Begitu juga halnya, apabila kita telah mahir memanfaatkan gaya dan teknik yang dikuasai oleh kita dalam penulisan, tanpa sedar penghasilan karya menjadi amat mudah tetapi berkesan.
Untuk memudahkan perbincangan tentang hal ini, mari kita sama-sama menghubungkaitkan sajak yang tersiar pada minggu lepas dengan perihal gaya dan teknik mereka dalam usaha penggunaan kata atau diksi serta kemampuan mereka menyerlahkan makna yang tersurat serta tersirat dalam sajak mereka.
Pandangan ini sekadar perkongsian untuk menjernihkan kefahaman kita tentang keberadaan sajak tersebut.
Sajak yang pertama untuk kita bincangkan ialah sajak berjudul “Sebelum Nyala Terpadam” nukilan Azia Nur. Sajak kedua berjudul “Tiga Perihal Matari” nukilan Adie Abd Gani dan sajak ketiga berjudul “Rahsia Denai” nukilan Qurratu Aini Izzatie Abdullah.
Ketiga-tiga sajak ini mempunyai gaya dan teknik yang berbeza. Ini tentu lebih menarik untuk dibincangkan.
Sajak pertama “Sebelum Nyala Terpadam” menarik caranya membina naratif dengan mewujudkan kronologi penyataan. Penulis bermula dengan mempersoalkan imej nyata seperti “lilin” dan “pelita” untuk membawa makna tentang kaitan diksi “nyala” tetapi dinafikan kerana adanya “sebatang kayu kecil” yang mempunyai “pawaka”.
Penulis sudah membina perspektif pada judul sajaknya melalui rangkap pertama. Namun, apakah gaya dan teknik itu berterusan? Perhatikan keseluruhan sajak ini;
Bukan lilin megah berdiri
bukan pelita dinyala sumbu
kauhanya sebatang kayu kecil
tersimpan pawaka di puncakmu
kau jadi asbab
ibu menyalakan unggun
bapa membakar daun kering
anak kecil bermain bunga api
hanya sekali kau percikkan nyala
sebelum kian malap
dan angin pun meniupmu
menjadi debu.
Rangkap kedua sajak ini berbeza dengan rangkap pertama. Rangkap pertama lebih tersirat sehingga ungkapan “tersimpan pawaka di puncakmu” membuka laluan saspens ceritanya.
Tetapi, pada rangkap kedua, ungkapan agak lebih langsung atau tersurat walaupun masih bercirikan biasan kenyataan. Kata kuncinya “asbab” yang menyebabkan “ibu menyalakan” dan “bapa membakar” serta “anak kecil bermain bunga api”.
Episod cerita pada rangkap kedua sekalipun agak langsung tetapi tersembunyi agenda pesan dan ingatan oleh penulis. Ini jelas dikaitkan dengan gaya dan teknik ceritanya pada rangkap ketiga atau rangkap akhir.
Perangkap naratifnya melalui ungkapan “hanya sekali kau percikkan nyala” seakan-akan mendorong kita menduga episod yang lebih drastik tentang “nyala” tetapi ditamatkan tanggapan kita sebagai pembaca apabila ungkapan “dan angin pun meniupmu/menjadi debu” menutup ceritanya.
Sejujurnya sajak ini menarik dalam konteks gaya dan teknik penulisannya. Ada stail yang agak segar dan baharu. Namun, kaedah menjadikannya sebagai sebuah cerita yang mempunyai sebab dan akibat tidak kesampaian secara tuntas.
Mungkin olahan sajaknya yang agak pendek atau fokus cerita yang terlalu mengabaikan isu sebenar cerita, maka sajaknya terserlah dengan bayangan kata tetapi masih kabur pada maknanya sebagai sebuah pemikiran.
Sajak kedua berjudul “Tiga Perihal Matari”. Sajak ini cukup pendek untuk mengungkapkan perihal matahari atau matari.
Hanya ada tiga rangkap yang cuba memberikan justifikasi terhadap pengertian matahari atau matari dalam konteks yang kita sedari atau tidak.
Kependekan sajak sebegini juga merupakan gaya dan teknik. Penggunaan diksi “teruji” sebagai pemula pada setiap rangkap pun boleh dianggap gaya dan teknik. Persoalannya, apakah gaya dan teknik itu berkesan? Perhatikan keseluruhan sajak ini.
teruji syukurmu,
pada bahang pertama
lenyapkan dingin jendela
teruji sabarmu,
pada cemerlang cerah
diragut gemawan kelabu
teruji yakinmu,
pada pendar bersisa
pecahnya ghaib di mata.
Rangkap pertama, jelas kaitan peranan matahari atau matari yang mempunyai “bahang” dan akhirnya melenyapkan “dingin jendela”. Yang menarik diteliti, pada bahang dan lenyapnya dingin dikonsepsikan oleh penulis sebagai penguji “syukurmu”.
Begitu juga halnya dengan rangkap kedua, iaitu matahari atau matari mempunyai “cemerlang cerah” tetapi telah “diragut gemawan kelabu”.
Kedua-dua situasi ini tidak akan kita temui jawapannya pada pengertian yang objektif melalui kata imej yang digunakan.
Siratan maknanya tersembunyi dalam diksi yang jelas tetapi dibayangi oleh ambiguiti yang dibayangi pula oleh maknanya. Ini kita mampu temui pada rangkap ketiga apabila penulis mencirikan matahari atau matari menjadi “pendar bersisa”.
Mungkin secara objektifnya, peralihan siang ke senja sehingga kita menerimanya menjadi sebuah keyakinan bahawa akhirnya situasi itu seakan-akan “pecahnya ghaib di mata”.
Gaya dan teknik yang terlalu menyembunyikan naratif sama ada kerana kependekan sajak atau penggunaan simbol diksi yang dijalinkan dengan siratan makna itu baik.
Tetapi kalau sukar difahami tentang arah tuju mesejnya, sajak akan menjadi kabur dan tergantung dalam persoalan makna.
Sedangkan sajak ini mempunyai wibawanya tersendiri apabila mampu mencipta gaya dan teknik membina jawapan sebelum adanya pertanyaan.
Sajak yang ketiga untuk kita bincangkan berjudul “Rahsia Denai”. Sajak ini paling jelas kurang fokus untuk membawa gagasan naratif dalam gaya dan teknik penulisannya.
Penggunaan diksi atau pemilihan kata terlalu drastik sehingga tidak memberi keseimbangan dalam pemaknaan sajaknya. Kata kuncinya “denai” yang dianggap rahsia.
Pada jangkaan awal tentang sajak ini seakan menjurus kepada usaha untuk meneroka dan mengali apakah yang tersembunyi pada makna “denai”.
Tetapi apabila ditekuni keseluruhan sajak ini, jelas penulis hilang fokus dan akhirnya gaya dan teknik dalam penulisan sajak ini “melemaskan” makna sajak tersebut.
Mungkin penulis membina bayangan kata untuk menampakkan kesan sebab dan akibat, tetapi kecenderungan penulis yang memberi persepsi pada diksi tanpa kaitan menyebabkan keterjalinan terputus-putus sehingga memesongkan makna itu sendiri. Perhatikan keseluruhan sajak ini.
Denai menelan langkah
akar mencekik jejak bayang
lopak meneguk sunyi
yang membusuk di dasar malam.
Retak di dada liang hitam
tempat darah berbuih diam-diam
rahsia luka terkurung
dalam jerit yang disumbat sepi.
Dedaun gugur tanpa nama
sinar terperangkap di rimba gelita
fajar jika ia wujud sekalipun
cuma bayang harapan
yang belum pernah tiba.
Naratif yang jelas pada “denai” hanya tersimpul dalam rangkap pertama. Walaupun penggunaan diksi seperti “menelan”, “mencekik”, “meneguk” dan “membusuk” agak drastik dan di luar konteks tetapi masih mampu dijalinkan dengan ciri “denai” itu sendiri melalui kata “langkah” dan “jejak”.
Sejujurnya, rangkap pertama hanya membuka laluan cerita yang agak longgar sehingga kita tercari-cari makna kerahsiaan “denai” tersebut.
Ungkapan “yang membusuk di dasar malam” benar-benar menjentik tafsir kalau mahu dikaitkan dengan “denai”. Episodnya seakan menyeramkan tetapi seperti hilang punca untuk mengenal pasti sebab dan akibatnya.
Oleh yang demikian, bacaan terganggu untuk menjejaki makna ke makna dalam setiap diksi yang digunakan.
Mungkin penulis juga melakukan bayangan kata untuk mewakili fikirnya tentang situasi naratifnya, tetapi sebagai pembaca seakan kita tidak menemui arah tujunya.
Gaya dan teknik penulisan pada rangkap kedua menarik sekiranya isu yang diceritakan ada kaitan dengan sesuatu penyakit. Tidak dengan isu “denai”. Penggunaan diksi tidak mewakili kata imej yang harmoni.
Bayangkan “retak di dada” dijalinkan dengan episod “darah berbuih” tetapi dikaitkan dengan “luka terkurung” dengan “jerit yang disumbat sepi” Semua alir diksi yang digunakan tidak menampakkan penggalian tentang “rahsia denai”.
Kalau diceritakan tentang “rahsia darah tinggi” pasti ungkapan-ungkapan yang dibina ini menarik dan menjentik.
Pada rangkap ketiga sajak ini pun, “rahsia denai” tidak diberi tumpuan sebagai naratif utamanya. Penulis lebih mengetengahkan panorama situasi tanpa ada destinasi yang objektif.
Sebenarnya, ketiga-tiga rangkap dalam sajak ini boleh berdiri sendiri sebagai naratif yang berbeza. Paling jelas, gaya dan teknik penulisan sebegini menyukarkan penelitian tentang apakah sebenarnya yang hendak penulis kongsi dengan pembaca.
Walaupun pada setiap ungkapan ada kekuatan sama ada sebagai metafora atau personifikasi.
Hanya, sajak yang lemah dalam penjalinan membawa pengertian bahawa penulis masih belum mampu membina naratif secara tuntas. Dengan kata lain, pencampuran dan kecelaruan kata imej akan menyebabkan naratif sajak kabur dan tidak mampu menyerlahkan maknanya.
Sebagai penulis sajak, bayangkan kata penting sebagai lonjakan gaya dan teknik tetapi pemaknaan dalam kata lebih penting kerana pada kata itulah pemikiran dan perasaan penulis untuk menjadi gaya dan teknik keperibadiannya dalam berkarya.
Kepada ketiga-tiga penulis sajak yang dibincangkan ini, teruskan menulis dan berkarya dengan pemikiran yang terbuka serta bina keperibadian kepengarangan dengan tulus dan luhur.
Bukan memaksa pengungkapan yang hanya bernafaskan bombastik atau lewah tetapi perlu fokus dan jelas matlamatnya.
Selamat berkarya.
Oleh Ja’afar Hamdan