Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Chiang Mai isytihar zon bencana kebakaran hutan di 6 daerah
  • GLOBAL

Chiang Mai isytihar zon bencana kebakaran hutan di 6 daerah

Utusan Sarawak 7 hours ago
CHIANG Mai isytihar zon bencana kebakaran hutan di 6 daerah, usaha dipergiat lindungi penduduk dan kawal jerebu. Foto AGENSI

BANGKOK: Chiang Mai di utara Thailand mengisytiharkan zon bencana kebakaran hutan di enam daerah berikutan kebakaran hutan yang semakin buruk dan jerebu yang terus menjejaskan penduduk.

Pihak berkuasa wilayah secara rasmi telah menetapkan Hot, Samoeng, Chiang Dao, Doi Saket, Mae Taeng dan Mae Wang sebagai kawasan terjejas bencana dan zon bantuan kecemasan bagi menyegerakan bantuan kepada mereka yang terkesan oleh krisis yang sedang berlaku.

Gabenor Wilayah Chiang Mai, Rattapol Naradisorn, berkata pengisytiharan itu tidak meliputi keseluruhan daerah tetapi menyasarkan khusus kepada mukim dan kampung di mana kebakaran hutan berlaku, bagi memastikan peruntukan belanjawan dan sumber yang lebih cekap.

“Tujuan utama pengisytiharan ini adalah untuk membolehkan organisasi pentadbiran tempatan dan agensi kerajaan yang berkaitan menggunakan segera belanjawan dan sumber yang ada bagi memadamkan kebakaran serta membantu penduduk yang terjejas mengikut peraturan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah bahawa kebakaran hutan di enam daerah tersebut telah menjejaskan 38 mukim, 324 kampung dan 27 komuniti.

“Jika agensi tempatan menghadapi kekangan belanjawan, wilayah bersedia untuk meluluskan dana luar jangka kecemasan di bawah kuasa gabenor bagi menyokong operasi dengan segera, sekali gus memastikan tindak balas yang berterusan dan pantas terhadap krisis kebakaran hutan ini,” katanya.

Rattapol berkata wilayah itu telah melaksanakan langkah proaktif yang merangkumi pencegahan, pemantauan dan pengurusan situasi, dengan lebih 20,000 sukarelawan kebakaran hutan dikerahkan ke semua 24 daerah.

Beliau menyatakan bahawa Chiang Mai telah mempertingkatkan pelan kawalan kebakaran hutan dengan memperkenalkan rondaan pada waktu malam susulan peningkatan ketara dalam aktiviti kebakaran sejak 23 Mac.

“Situasi paling kritikal berlaku pada 29 Mac, apabila titik panas melonjak kepada 1,020,” katanya, sambil menambah bahawa keadaan sejak itu telah bertambah baik dengan kira-kira 355 titik panas direkodkan semalam.

Beliau berkata pelan operasi telah diselaraskan untuk menyesuaikan rondaan dengan waktu puncak kebakaran, manakala ketua-ketua daerah telah diarahkan untuk bekerjasama rapat dengan pemimpin tempatan dan badan pentadbiran bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan penduduk di kawasan berisiko tinggi.

“Matlamat utama adalah untuk menghalang kemasukan tanpa kebenaran ke kawasan hutan, sekali gus menghentikan kebakaran di punca asalnya. Pendekatan ini lebih berkesan daripada mengerahkan pasukan pemadam kebakaran yang besar ke kawasan pedalaman dan sukar diakses,” tambahnya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Gunung Semeru di Indonesia rekod 16 letusan dalam tempoh enam jam

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.