SELEPAS 21 tahun, suasana di sekitar Padang KPSU Lama Sri Aman kembali mencetuskan kemeriahan serta menggamit kerinduan dikalangan peminat-peminat bola sepak di bandar Simanggang.
Setiausaha Persatuan Anak Perantau Simanggang, Awang Putra Yusri Awang Redzuan berkata selepas tahun 1999, Padang KPSU Lama yang berada di lokasi tidak jauh dari bandar itu tidak lagi digunakan setelah sebuah Kompleks Sukan Sri Aman yang baharu itu digunakan pada tahun berkenaan.
“Sejak dari tahun itu (1999), Padang KPSU Lama terus sunyi sepi dengan sebarang aktiviti terutamanya melibatkan penganjuran pertandingan bola sepak yang terkenal dengan gelaran ‘Main Simanggang’ satu ketika dahulu.
“Selepas 21 tahun, akhirnya suasana di sekitar Padang KPSU Lama bertukar menjadi meriah dengan kehadiran peminat-peminat sukan bola sepak tidak mengira latar belakang, usia dan bangsa, bersama-sama para pemain veteran dan bekas pemain mengimbau kembali zaman kegemilangan dan nostalgia menerusi satu perlawanan persahabatan yang diadakan pada Ahad lalu,” katanya.
Awang Putra Yusri berkata perlawanan persahabatan yang dianjurkan itu telah berjaya mengimbau kembali era kegemilangan bola sepak di bandar Simanggang yang dikecapi sekitar 80-an hingga 90-an, sekali gus mengubat kerinduan peminat-peminat bola sepak di daerah ini dengan menyaksikan kelibat-kelibat mereka bermain di atas padang.
“Padang KPSU Lama ini begitu banyak menyimpan sejarah, banyak melahirkan pemain-pemain bertaraf bintang, serta juga beberapa pasukan yang dianggap paling digeruni di bandar Simanggang satu ketika dahulu.
“Sehubungan itu, amatlah wajar kepada penduduk-penduduk serta pihak berkaitan untuk terus menghidupkan suasana dan kemeriahan Padang KPSU Lama ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti serta beberapa siri penganjuran pertandingan bola sepak agar ia tidak ‘mati’ atau dibiarkan begitu sahaja,” ujarnya.
Justeru itu, kata Awang Putra Yusri inisiatif Persatuan Anak Perantau Simanggang bersama Belia Simanggang telah mencetuskan idea dengan menyatukan semula bekas-bekas pemain bola sepak dari bandar Simanggang, samada yang pernah menyarung jersi pasukan bahagian Sri Aman serta pernah bermain beberapa kelab ternama di daerah itu.
“Program yang dirangka ini, bukan hanya sekadar perlawanan persahabatan bagi menyatukan semula bekas-bekas pemain dari Simanggang, malah ia bertujuan untuk menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Sarawak kerana memutuskan untuk mengekalkan Padang KPSU Lama sebagai tempat riadah atau ‘green zone’ bandar Simanggang.
“Kami bagi pihak Persatuan Anak Perantau Simanggang, Belia Simanggang serta bekas-bekas pemain dari beberapa buah kelab dari Liga Simanggang yang hadir pada perlawanan persahabatan nostalgia itu melahirkan rasa terharu dan gembira serta meluahkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak apabila padang yang banyak menyimpan segala sejarah suka dan duka warna warni Liga Simanggang puluhan tahun dahulu, terus dikekalkan sehingga kini,” katanya.
Mengenai perlawanan persahabatan nostalgia itu kata Awang Putra Yusri sambutan daripada bekas-bekas pemain veteran yang hadir adalah sangat luar biasa dengan pelbagai pemain daripada pasukan-pasukan telah memberi sokongan untuk menjayakan program berkenaan.
“Saya berterima kasih kepada semua pemain-pemain yang telah hadir serta memberi sokongan sepenuhnya kejayaan penganjuran program itu, termasuk dua pemain lagenda Bujang Senang iaitu Ramles Sari dan Ramos Sari yang juga anak jati bandar Simanggang sendiri.
“Insyaallah…pihak kita akan mengadakan aktiviti seumpama ini pada masa akan datang, iaitu perlawanan susulan dan kita berharap ramai lagi bekas-bekas pemain Simanggang yang berada dari luar akan turut serta selepas ini,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri telah menyatakan beliau berhasrat untuk menganjurkan Pertandingan Bola Sepak Veteran Piala ADUN Lingga pada tahun hadapan yang akan diadakan di Padang KPSU Sri Aman.
Oleh Adi Safarman