Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Bagaimana Basri ditemui Mati di Rumahnya Sendiri
  • WBS

Bagaimana Basri ditemui Mati di Rumahnya Sendiri

Utusan Sarawak 8 hours ago

BERITA kematian Basri yang tersebar pantas pada petang itu telah mengejutkan ramai orang. Jiran-jiran di perumahan tidak menyangka, lelaki sebaik dan seramah itu akan pergi ke negeri abadi sepantas waktu berlalu.

Rakan sekerja pula tidak dapat menahan sedih apabila dimaklumkan menerusi kiriman Whatsapp. Bagi pencandu media sosial yang sering menonton konten melibatkan Basri, kisah penemuan jasad Basri di hujung tangga rumahnya sendiri, telah menjadi bualan hangat di media maya lantas mencetuskan pelbagai reaksi dan persepsi.

Apabila ditanya kepada isterinya, Lara menceritakan bahawa anak bongsunya, Aboy yang terlebih dahulu menemui Basri terlentang dengan kepala berlumuran darah di hujung tangga.

Sebaik sahaja dia mendekati jasad suaminya, Lara segera mencucuh jari pada hidung suaminya sebelum memeriksa nadi pada pergelangan tangan. Perbuatan itu disaksikan sendiri oleh Aboy dan anak perempuannya, Manja yang baru tiba di rumah pada petang itu.

Di situlah bermulanya keraguan khususnya buat orang yang hidup berpaksikan media sosial. Apabila terlalu ghairah dengan sosok yang dipuja dalam alam maya, mudah saja golongan ini menarik perhatian dengan membuat spekulasi yang akhirnya tersebar tanpa kawalan.

Hanya dengan sekerat komen yang mengandaikan kematian Basri terlalu mencurigakan, maka tercetuslah rantaian fitnah mengatakan bahawa Basri mati dibunuh oleh isterinya sendiri.

Lara sama sekali tidak mengendahkan tuduhan dangkal itu. Tambahan pula, tidak ada seorang pun yang hadir ke rumahnya mempersoalkan perihal itu. Nyatalah, berita palsu itu hanya berpelesiran di ruangan media sosial sahaja.

Pada hari kelapan, penghuni rumah itu masih berendam dengan kesedihan. Dirundung rasa tidak percaya bahawa kini, hanya mereka bertiga yang akan duduk di meja makan sambil menatap realiti yang mencengkam.

Meja makan diisi dengan Lemak Putih Umbut Kelapa, Ikan Kembung Goreng Berlada dan tembikai yang sudah siap dipotong kecil-kecil.

Manja duduk berhadapan dengan ibunya. Sementara, Aboy berada di sebelahnya. Di hadapan Aboy, tidak diisi sesiapa seperti sebelum ini. Kekosongan itu mengundang rasa janggal dan sepi.

“Makanlah, ibu, Aboy. Kalau makanan ni dah sejuk, tak sedap pula nanti. Penat Manja masak kalau takda orang nak makan,” kata Manja perlahan, cuba meraih perhatian ibu dan adiknya.

Pada masa yang sama, dia mahu mengembalikan keceriaan keluarganya sendiri. Langkah pertama yang dia ambil adalah masak masakan kegemaran ibu dan adiknya.

Mendengar pujukan halus Manja, membuatkan Lara tersedar dari lamunan yang panjang. Jasadnya berada di meja makan tetapi fikirannya masih hanyut dalam lautan kepiluan.

Matanya yang bengkak memandang ketulusan nurani Manja. Bibirnya cuba mengukir senyuman sebelum mencedok sayur kegemarannya.

“Dulu ayahlah yang selalu masak sayur umbut ni untuk ibu,” ujar Lara menggamit memori.

“Dia seorang suami yang memahami. Apabila hari bekerja, ibulah yang selalu masak untuk keluarga kecil kita. Dan setiap kali hujung minggu atau hari cuti, ayah akan berkeras untuk masak sebab dia kata… Ibu dah puas jadi suri rumah sepanjang waktu dia bekerja. Giliran dia pula mengambil-alih tugas untuk masak masakan kegemaran kita bertiga. Dia melarang ibu campur tangan dalam urusannya di dapur sebab bagi dia… ibu dah puas masak masa dia bekerja tanpa diganggu oleh ayah,” cerita Lara dengan penuh penghayatan tanpa menyedari setitis air mata mengalir ke pipi.

“Ayah tak bagi ibu tolong dia sebab nak ibu rehat. Tapi, ayah izinkan Manja tolong dia memasak. Pelikkan?” sambung Manja seraya mengungkit kenangan bersama ayahnya.

Lara tersenyum pahit. Dia tidak terkilan apabila suaminya lebih mengutamakan anak perempuan mereka untuk membantunya di dapur. Sementara Basri dan Manja sibuk memasak, Lara mengambil kesempatan dan ruang yang ada dengan merakam momen santai keluarga itu.

Video-video yang menarik kemudiannya akan disunting sebelum dimuat naik ke dalam TikTok. Segalanya bermula dengan satu video yang tanpa disangka telah tular  sehingga meraih lebih lima puluh ribu perkongsian di TikTok.

Sejak itu, Lara semakin rajin  memuat naik video kehidupan mereka, membuatkan pengikut-pengikutnya sentiasa menantikan konten terbaru dari akaun TikTok Lara.

Ada yang kagum dengan sikap Basri sehingga membuatkan mereka turut mengimpikan seorang suami penyayang seperti Basri juga.

Malah, ada di antara mereka sudah menghafal makanan kegemaran keluarga itu yang sering menjadi menu masakan Basri.

Apabila Lara tidak lagi berkongsi kebahagiaannya di alam maya sejak beberapa bulan yang lalu, netizen mula mempersoalkan ‘kehilangan’ figura teladan mereka. Kesunyian Lara di akaun TikTok menjadi tanda tanya sehinggalah berita kematian Basri tersebar.

Aboy adalah orang pertama melihat ayahnya terlentang di hujung tangga. Melihat orang tua mati dalam keadaan yang tidak terjangka pada usia masih terlalu muda, bukanlah sesuatu yang mudah.

Orang-orang sekeliling merasakan dia masih terkesan dengan pemergian ayahnya sehingga meragut daya sosial kanak-kanak yang dulunya periang kini menjadi sangat pendiam. Langsung tidak ada sepatah kata yang terkeluar dari mulutnya sejak peristiwa itu.

“Aboy…” panggil Manja perlahan. Adiknya dilihat seperti seorang kanak-kanak yang bertarung dengan trauma. Hanya memandang makanan yang terhidang tanpa disentuh sedikit pun. Lantas, Manja memegang tangan Aboy, cuba untuk menyalurkan kembali semangat adiknya. “Makanlah sikit. Kalau ayah masih ada, dia mesti tak suka tengok kita termenung depan makanan. Ayah tak suka kita membazir.”

“Akak tak faham…”

Lara mengangkat wajah memandang ke arah Aboy. Akhirnya, setelah sekian lama, anak bongsunya bersuara.

“Aboy… kita semua tengah hadap benda yang sama. Kita telah kehilangan orang yang kita sayang. Tak ada siapa di antara kita yang tak terkesan. Usahlah bersedih terlalu lama, dik.” Manja tidak putus asa membujuk adiknya meskipun hati dia sendiri masih berduka.

“Akak takkan faham apa yang Aboy rasa…” Sebaik sahaja Aboy memuntahkan segala yang terbuku di hati, air matanya merambu bagai air terjun yang menghentam batu.

“Aboy sedih. Aboy… kecewa. Ayah pergi sebelum sempat Aboy buktikan yang anak lelaki dia ni pun boleh bagi pingat emas semasa perlawanan badminton peringat akhir U15 yang kebetulan adalah hari ulang tahun kelahiran ayah,” luah Aboy tersedu-sedan.

“Tak. Aboy tak pernah kecewakan ayah,” sambut Lara lembut, memotong kata-kata anaknya untuk memancung andaian yang sama sekali tidak berasas. “Malah, ibu sendiri pun rasa bangga sebab ada anak sehebat Aboy. Aboy tak perlu salahkan diri sendiri sebab tak dapat nak capai apa yang Aboy impikan.”

“Tak semua perkara dalam dunia berjalan seperti yang kita inginkan, dik. Tapi janganlah hanya kerana satu keinginan kita tak tercapai, sampai meragut kebahagiaan kita,” ujar Manja dengan sepenuh hati.

Aboy menarik tangan yang dipegang erat kakaknya. Disapu wajahnya yang dibanjiri airmata.

“Ini bukan tentang hasrat Aboy semata-mata. Aboy tak boleh memaafkan diri sendiri. Sejak Aboy tak dapat bagi ayah emas, kemesraan kami seolah-olah pudar. Aboy mula jarang keluar bilik. Segala raket ditolak tepi, digantikan dengan permainan Mobile Legend yang buat Aboy semakin menjauhkan diri dari ayah. Dan sejak hari tu, ayah pun jarang meluangkan masa untuk bersama Aboy. Bila ayah dah pergi, baru Aboy faham, bukan ayah yang menjarakkan diri. Tapi Aboy yang tersilap langkah.”

Lara tergamam. Ternyata, selama ini dia kurang cakna dalam menilai perubahan emosi anaknya sendiri. Perubahan Aboy ketika itu hadir sebagai isyarat kekecewaan.

“Sampailah kali terakhir Aboy bertemu ayah dalam keadaan yang kita semua tahu, sebelum….” Aboy tidak mampu menghabiskan kata-katanya. Dia mengesat air mata yang berjuraian membasahi pipi. Kemudian matanya menjeling ibu yang tidak lepas memandangnya. Seolah-olah ibu tahu arah perbualan ini.

“Sebelum… Aboy mendengar ibu menjerit pada ayah, marah ayah.”

Pendedahan Aboy menyingkap kenyataan baru yang mengejutkan Manja. Wajah Aboy dan ibu dipandang silih-berganti. Ibu dilihat semakin tidak senang dengan pendedahan Aboy.

“Apa maksud Aboy?” Sepanjang 18 tahun dia hidup, tak pernah sekali pun dia mendengar ibu meninggikan suara dengan ayah.

Lara memicit dahi. “Hari tu, ibu secara tak sengaja terjumpa surat hospital yang mengesahkan dia menghidap tumor otak. Ibu cuma mahu penjelasan dari ayah kenapa perlu merahsiakan semua itu. Sebagai isteri, ibu berhak tahu. Tapi ayah berkeras tak mahu siapa pun tahu termasuk kamu berdua. Itu sebabnya ibu marah.”

“Maksud ibu… Selama ni ayah rahsiakan yang dia sakit? Tapi kenapa?”

“Sejujurnya… Ibu sendiri pun tak faham kenapa ayah memilih untuk berahsia. Mungkin dia tak nak kelihatan lemah. Dan mungkin dia tak nak kita risaukan dia.” Lara menarik nafas dalam.

Tidak ada seorang isteri pun di dunia ini rela melihat pasangan sehidup semati ditimpa musibah. Apatah lagi dengan kehadiran penyakit yang pada bila-bila masa saja mampu meragut nyawa manusia andai tidak dikawal dan dibendung dari awal.

Resah dan takut bergelumang dalam dada, membentuk bayangan negatif yang menyesakkan fikiran. Lantaran tidak mampu menerima kenyataan perit itu, Lara dengan tidak sengaja meninggikan suara kepada suami tercinta.

Bagi dia, seorang isteri, bahkan sebuah keluarga pun berhak tahu akan hal sepenting itu. Apa gunanya sebuah institusi keluarga andai tidak mampu menjadi tali yang saling mendukung?

Tanpa Lara sedar, pertengkaran kecil ketika itu didengari oleh Aboy di sebalik dinding yang mungkin mentafsirkan perkara itu dari sudut berbeza.

Lantas, dia gunakan peluang pada malam ini untuk menjelaskan rentetan kejadian tanpa ada sebutir zarah pun tertinggal.

“Ya, memang ibu terkhilaf meninggikan suara pada ayah sebab waktu itu… Ibu terlalu ikutkan emosi. Sepatutnya, ibu bertenang, redha dan menghadap ujian ini bersama-sama.” Lara berhenti seketika untuk menyeka air mata. “Tapi, semuanya sudah terlambat. Ternyata, ayah meninggalkan kita bukan sebab sakit yang dia rahsiakan, sebaliknya dia meninggal sebab jatuh tangga. Walaupun bukan ibu penyebabnya, tapi hati ini masih tak dapat terima apa yang jadi sebelum semua ini berlaku.”

Manja tidak mampu berkata apa-apa. Air matanya tumpas dengan rentetan kebenaran yang menguji ketabahan mereka.

Bahunya terhenjut-henjut tak mampu menahan sebak. Seberat apa pun kehilangan yang dia rasa, takkan mampu menandingi beban kekesalan seorang ibu.

Kali ini, giliran Aboy pula mengusap belakang kakaknya sebelum berkata, “Bak kata akak tadi, tak semua perkara akan berlaku seperti apa yang kita inginkan. Tapi, kita masih ada banyak masa untuk terima bahawa rumah ini masih ada penghuni yang masing-masing perlukan ruang bersama. Bukankah itu yang akak maksudkan tadi? Untuk memaafkan diri sendiri dan berdamai dengan takdir.”

Kehilangan seorang ayah telah membuka mata Aboy untuk mengisi waktu yang ada tanpa mengabaikan keinginan sendiri dan harapan orang tersayang.

Selagi kita bernafas, selagi itulah kita akan berjuang menempuh hidup dengan perkara-perkara yang membahagiakan.

Ya, pada zahirnya, rumah ini hilang seri sebaik saja tiang yang mencorak dan mendukungnya sudah tiada. Namun, selagi ada tiang lain yang masih berdiri, rumah ini perlu dijaga demi penghuninya.

Lara selaku tiang pengganti yang akan mencorakkan semula rumah ini,   lantas bangkit berdiri lalu menolak kerusi di sebelahnya ke sudut meja.

Kemudian, dia meletakkan kerusi yang didudukinya di antara Manja dan Aboy. Anak-anak memandang dengan penuh tanda tanya.

Dalam posisi yang masih berdiri, dia membalas pandangan mereka silih berganti. Kedua-dua tangan dihulurkan di ruang atas meja.

Manja dan Aboy berbalas pandangan sebelum kembali menatap ibu mereka yang mengukir segaris senyuman.

Lantas, kedua-dua mereka serentak bangkit lalu menyambut huluran tangan Lara. Masing-masing berdiri seperti tiang seri yang saling menyokong antara satu sama lain.

Genggaman mereka membentuk satu ikatan yang saling memberi kekuatan. Tiga pasang tangan bersatu membentuk bulatan yang bakal menyingkirkan sepi.

Oleh Firdaus Dahlan

Continue Reading

Previous: Puisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.