
SIBU: Tindakan pantas Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.54 Pelawan berjaya membantu sepasang suami isteri muda bersama bayi mereka pulang ke kampung halaman selepas dipercayai terkandas di Pasar Sentral Sibu akibat kesulitan kewangan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya baru-baru ini menerima panggilan daripada orang awam yang prihatin mengenai pasangan berkenaan bersama seorang bayi berusia kira-kira enam bulan yang dilaporkan berada dalam keadaan mencemaskan di lokasi tersebut.
Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, sejurus menerima maklumat, pasukan pusat khidmat berkenaan segera bergegas ke Pasar Sentral Sibu bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi.
“Hasil siasatan mendapati pasangan itu berasal dari Mukah dan sebelum ini datang ke Sibu untuk mendapatkan rawatan bagi bayi mereka di Hospital Sibu.
“Bagaimanapun, selepas discaj, mereka berdepan kesulitan kewangan dan tidak mempunyai wang mencukupi untuk pulang ke kampung halaman, menyebabkan mereka terpaksa tinggal sementara di kawasan bandar,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, Pusat Khidmat DUN N54 Pelawan kemudian segera menghulurkan bantuan dengan menghubungi ahli keluarga pasangan tersebut.
“Melalui koordinasi yang dijalankan, ahli keluarga mereka akhirnya tampil menjemput dan membantu pasangan itu pulang ke rumah dengan selamat,” katanya.
Sementara itu, pusat khidmat di bawah Michael Tiang Ming Tee menegaskan komitmen berterusan dalam membantu masyarakat serta memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan.
Orang ramai turut digesa agar melaporkan situasi seumpama ini supaya bantuan dapat disalurkan dengan segera, sekali gus memupuk masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang di Sibu.
Oleh Akun Giman