Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Diplomasi panggilan telefon Anwar berjaya dapatkan akses selamat di Selat Hormuz
  • NASIONAL

Diplomasi panggilan telefon Anwar berjaya dapatkan akses selamat di Selat Hormuz

Utusan Sarawak 5 hours ago

KUALA LUMPUR: Berilah penghargaan yang sewajarnya.

Keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan diplomasi panggilan telefon sebagai amalan berterusan – serta mengadakan lawatan ke luar negara – kini mula membuahkan hasil yang ketara. 

Antara keberhasilan paling signifikan dari segi strategi adalah tindakan Iran mengizinkan kapal Malaysia merentasi Selat Hormuz.

Menurut laporan berita, kira-kira 50 peratus daripada jumlah minyak Malaysia diangkut menyeberangi laluan berkenaan. 

Perdana Menteri telah menghubungi Presiden Iran Masoud Pezeshkian, manakala Menteri Luar Mohamad Hasan turut mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya, Abbas Aragchi, bagi membolehkan tujuh kapal meneruskan perjalanan pulang, iaitu empat daripadanya membawa minyak mentah.

Duta Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi Nasrabadi menyatakan bahawa kapal-kapal itu dibenarkan menggunakan selat itu dengan selamat – tanpa dikenakan bayaran.

Hingga akhir Mac 2026, laporan menunjukkan bahawa Iran mula mengenakan “yuran transit” atau “tol” kepada kapal yang menggunakan Selat Hormuz, dengan beberapa laporan menyatakan caj mencecah hingga AS$2 juta bagi setiap kapal.

Ini bukan sekadar simbolik kejayaan semata-mata, sebaliknya satu pencapaian besar geopolitik. Malaysia sentiasa tegas mempertahankan pendirian berkecuali.

Malaysia bersahabat dengan semua pihak, namun tidak gentar bersuara apabila sesuatu hal yang tidak betul berlaku, termasuk serangan terhadap Iran dan nasib rakyat Palestin di Gaza.

Meskipun, Malaysia menghasilkan minyaknya sendiri namun, laluan Selat Hormuz amat penting kerana negara masih mengimport sejumlah besar minyak mentah dari Teluk Parsi –  kira-kira 69 peratus daripada jumlah import minyak mentah – untuk memastikan kelancaran operasi penapisan domestik. 

Malaysia mengeksport minyak mentah yang lebih ringan dan bernilai tinggi, di samping mengimport minyak gred lebih berat dan murah dari Timur Tengah, yang merentasi Selat Hormuz.

Penutupan Selat Hormuz telah mewujudkan tekanan ekonomi yang besar, memaksa kerajaan meningkatkan subsidi bahan api bagi mengawal harga domestik.

Dalam keadaan yang menyaksikan kira-kira satu perlima bekalan minyak global merentasi Selat Hormuz, yang telah menjadi zon konflik, Iran mengetatkan kawalan serta mengehadkan laluan perkapalan.

Namun, Malaysia berjaya memperoleh pengecualian khas, yang membolehkan kapal tangki dan anak kapal dibenarkan menggunakan laluan berkenaan dengan selamat hasil rundingan langsung dengan Tehran serta kuasa serantau yang lain.

Mengapa dasar luar Malaysia berkesan?

Pertama, Anwar meletakkan Malaysia sebagai pengantara yang jujur, tanpa menyokong mana-mana pihak. Berbeza dengan kuasa besar yang terlibat secara ketenteraan atau politik, Malaysia konsisten menyeru kepada dialog dan meredakan ketegangan, menolak penglibatan ketenteraan sambil mempertahankan prinsip berhubung konflik. Sikap berkecuali ini memperkukuh kredibiliti Kuala Lumpur di Tehran.

Kedua, diplomasi peribadi Anwar memainkan peranan penting. Dalam era kerjasama pelbagai hala yang semakin rapuh, komunikasi antara pemimpin, termasuk menerusi panggilan telefon dengan pemimpin Iran, Turki dan Mesir, dapat menghapuskan halangan birokrasi dan menyemai kepercayaan.

Ini bukan sekadar formaliti; ia mencerminkan penghormatan, pengiktirafan dan kesungguhan terhadap negara seperti Iran yang berasa terasing dan sering “dikhianati” oleh kuasa global.

Ketiga, Malaysia mempunyai kepentingan ekonomi tanpa ancaman strategik. Iran memahami bahawa Malaysia ialah pengguna tenaga utama dan rakan dagang, bukan musuh ketenteraan.

Membenarkan kapal Malaysia menrentasi selat itu tidak melemahkan kedudukan geopolitik Iran, sebaliknya mengukuhkan lagi hubungannya dengan sebuah negara penting di Asia Tenggara.

Meskipun hanya sebuah negara kecil, kuasa pertengahan seperti Malaysia masih mampu mempengaruhi keadaan, bukan melalui kekuatan ketenteraan, sebaliknya pendekatan kredibiliti, konsistensi dan komunikasi.

Tidak harus dilupakan juga apabila 23 sukarelawan Malaysia daripada Global Sumud Flotilla ditahan oleh Israel ketika menjalankan misi bantuan ke Gaza, mereka dibebaskan hasil usaha diplomatik intensif yang dipimpin oleh Anwar, Oktober lepas.

Itu kejayaan yang dicapai daripada pelbagai panggilan telefon kepada para pemimpin termasuk Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan. 

Dalam keadaan aman, adakalanya kita mudah terlepas pandang keberkesanan diplomasi melalui panggilan telefon.

Namun, kebenaran untuk kapal tangki Malaysia dan pembukaan semula laluan utama untuk bekalan itu membuktikan bahawa diplomasi sebegini bukan naif, sebaliknya praktikal dan menecetuskan kesan yang amat besar.

Pendekatan Anwar memperlihatkan bahawa walaupun dalam konflik yang amat “terpolarisasi”, akses memerlukan rundingan, dam bukannya sesuatu yang disifatkan automatik.

Dan dengan memilih penglibatan berbanding berpihak, Malaysia berjaya mendapatkan sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh kebanyakan negara besar, iaitu kepercayaan. Inilah modal strategik sebenar dalam diplomasi antarabangsa. – Bernama

Continue Reading

Previous: Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan global – PM Anwar
Next: Perkeso sedia laksana Akta Pekerja Gig 2025, integrasi bersama penyedia platform

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.