
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan usaha mengehadkan pembukaan akaun media sosial baharu bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dengan pelaksanaannya dijangka seawal pertengahan tahun ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kerajaan akan memberikan tempoh secukupnya kepada platform media sosial bagi melaksanakan langkah pembersihan termasuk memastikan tiada lagi kanak-kanak bawah usia berkenaan mendaftar akaun baharu atau mengekalkan akaun sedia ada dalam platform masing-masing.
“Kita jangka (pelaksanaan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial) mungkin hujung Jun, jika tidak lebih awal daripada itu. (Pelaksanaannya) tidak mustahil sekiranya semua berjalan dengan baik dan lancar, kita mungkin mulakan lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) Digital Broadcasting Symposium 2026 (DBS 2026) di sini, hari ini.
Sebelum ini, MCMC memaklumkan pihaknya sedang meneliti pelbagai kaedah pengesahan umur sebelum pelaksanaan had usia 16 tahun bagi penggunaan media sosial dikuatkuasakan pada separuh kedua tahun ini.
Menurut MCMC, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan penyedia perkhidmatan media sosial seperti Meta, Google dan TikTok bagi menentukan kaedah bersesuaian.
Sementara itu, Fahmi ketika menyentuh mengenai simposium berkenaan berkata perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak akan mampu menggantikan tugas wartawan atau pembaca berita secara sepenuhnya.
“Banyak daripada teknologi yang ditonjolkan memberi bayangan apa yang boleh dilakukan. Namun dari segi dasar dan analisa, AI tidak mampu menggantikan wartawan ataupun pembaca berita sepenuhnya.
“Tetapi kita jangkakan wartawan dan pembaca berita akan digantikan oleh mereka yang fasih menggunakan AI,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan dan melaksanakan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta bagi membantu syarikat media dan organisasi berkaitan memanfaatkan teknologi AI dalam operasi masing-masing.
Beliau berkata dana itu diharap dapat digunakan bagi memperkukuh penggunaan teknologi tanpa menjejaskan pekerjaan, di samping membuka ruang kepada model pendapatan baharu dalam industri media.- Bernama