

DARO: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad menyifatkan kebakaran yang melibatkan hutan belukar amat sukar dan memakan masa untuk dipadamkan.
Katanya, situasi tersebut menuntut kerjasama semua pihak khususnya masyarakat setempat untuk mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran, termasuk pembakaran terbuka, lebih-lebih lagi ketika musim panas dan kemarau.
“Antara kawasan yang terjejas serius ialah berhampiran Kampung Penasu di sini, melibatkan keluasan sekitar 75 hektar,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, hari ini.
Menurutnya, keadaan cuaca panas, ketiadaan hujan serta faktor angin yang kuat telah memburukkan lagi situasi kebakaran, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman.
“Meskipun operasi memadam kebakaran telah berlangsung hampir seminggu diketuai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Daro, termasuk menggunakan kaedah ‘water bombing’ dengan bantuan helikopter, api masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya,” ujarnya.


Dalam pada itu, Dr Safiee menzahirkan penghargaan terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh anggota bomba yang bertungkus-lumus tanpa mengenal penat lelah dalam usaha mengawal kebakaran tersebut.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada penduduk kampung serta pihak ladang kelapa sawit berhampiran atas bantuan dan kerjasama yang diberikan sepanjang operasi dijalankan.
“Kecekapan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah dan Daerah Daro juga banyak membantu dalam mengawal keadaan daripada menjadi lebih buruk,” ujarnya lagi.
Sementara itu, operasi hari kelima (31 Mac) diteruskan hari ini dengan Komander Operasi mengarahkan semua anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu pam angkut dan dua ‘forest pump’ dengan sumber air terbuka dari parit berdekatan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, lokasi kebakaran dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor A, B dan C bagi memudahkan kawalan operasi.
“Seramai 28 anggota terlibat bersama jentera. Agensi lain yang turut membantu di lokasi ialah 15 pekerja Ladang Daro Jaya Estate 2 serta 10 penduduk Kampung Penasu,” katanya.
Oleh Akun Giman