Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Daripada rundingan ke Ekpedisi Mujong II
  • KOLUMNIS

Daripada rundingan ke Ekpedisi Mujong II

Utusan Sarawak 12 hours ago

KEADAAN di hulu Rajang selepas Ekspedisi Mujong I tidak berubah. Oleh itu Raja Charles Brooke memanggil ketua-ketua kaum Iban di hilir Rajang untuk berhimpun di Sibu. Seramai 13 ketua orang Iban telah hadir dalam perjumpaan tersebut.

Dalam perjumpaan itu, Raja Charles Brooke telah memaklumkan kepada ketua-ketua orang Iban ini tentang situasi di Mujong selepas Ekspedisi Pertama dilakukan pada Februari 1881. 

Beliau menyatakan bahawa kedudukan pihak lawan masih lagi tidak akur dengan kerajaan Brooke, dan terus menentap di hulu Sungai Mujong. Mereka juga mendapat sokongan daripada beberapa keluarga yang menyertai mereka di hulu Sungai Mujong.

Dikhabarkan juga penduduk di hulu Sungai Mujong ini mahu tunduk kepada kerajaan Brooke tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tidak percaya kepada ketua-ketua mereka yang berada di sekitar Kapit. 

Oleh itu, Raja Charles Brooke meminta agar ketua-ketua orang Iban menggunakan kedudukan dan pengaruh mereka untuk memujuk penduduk di hulu Sungai Mujong supaya menyedari bahawa keamanan di kawasan tersebut hanya dapat dicapai sekiranya mereka menghentikan penentangan.

Rundingan

Dalam perhimpunan itu juga Raja Charles Brooke menekankan bahawa kerajaan Brooke tidak akan menggunakan kekerasaan kecuali semua cara gagal dicapai untuk membawa keamanan di kawasan tersebut.

RAJA Charles Brooke.

Beliau menganggap terdapat semacam salah faham antara ketua-ketua orang Iban di hulu Sungai Mujong dengan sebahagian daripada pengikut mereka yang kini menjadi pemberontak.

Oleh itu beliau berharap agar ketua-ketua kaum Iban di hilir dapat menjadi wakil kerajaan dalam memujuk penduduk yang menentang untuk berpindah ke kawasan hilir sungai yang merupakan kawasan penempatan asal mereka dan membayar sejumlah kecil wang yang dituntut oleh kerajaan sebagai tanda kepercayaan baik dan lambang penyerahan diri kepada kerajaan.

Ketua-ketua orang Iban ini menyatakan kesanggupan mereka untuk mencari perdamaian yang dikehendaki oleh pihak kerajaan. Setelah selesai perjumpaan tersebut, Raja Charles Brooke bersama-sama dengan Rani telah menggunakan H.H.S. Aline untuk ke Kapit. 

Di Kapit ketua-ketua orang Iban ini telah disediakan dua bot untuk mereka mengadakan rundingan dengan pihak lawan untuk memenuhi hasrat kerajaan Brooke dalam menyelesaikan isu di Mujong.

Pindah

Selepas 10 hari, wakil-wakil ini telah balik dari Sungai Mujong dan membuat laporan tentang misi mereka. Antara perkara yang dilaporkan adalah mereka tidak dibenarkan pergi lebih jauh ke kawasan pihak lawan. 

Namun mereka sempat menemuramah beberapa orang yang menentang. Hasil temubual ini mendapati bahawa pihak lawan ini tidak mahu berpindah ke kawasan hilir sungai untuk berdepan dengan ketua mereka yang dikatakan dalam keadaan tertentu melakukan tindakan tidak adil terhadap mereka.

KAPIT pada 1946.

Oleh kerana itu wakil-wakil kerajaan dalam kalangan ketua-ketua orang Iban di hilir ini tidak dapat berbuat apa-apa untuk membawa keamanan di kawasan Mujong. Ketua-ketua orang Iban ini kembali semula ke kawasan mereka masing-masing.

Pada 28 Jun 1881 Raja Charles Brooke masih percaya rundingan satu-satu cara menyelesaikan masalah pihak lawan ini. Beliau telah memanggil ketua orang Iban dari Kalaka iaitu Munan untuk mengatur rundingan dengan ketua pihak lawan. 

Munan yang merupakan salah seorang terlibat dalam ekspedisi pertama bersetuju untuk memujuk ketua pihak lawan untuk berunding dengan Raja Charles Brooke.

Munan telah pergi berjumpa dengan pihak lawan dengan dua orang pengikut beliau. Munan berjaya memujuk ketua mereka Ayum untuk mengadakan perbincangan dengan Raja Charles Brooke.  Sebagai jaminannya, Munan menjadi orang tebusan semasa pemergian Ayum berjumpa denga Raja Charles Brooke.

Munan menghadapi kesukaran untuk memujuk Ayum untuk berjumpa dengan Raja Charkes Brooke. Beliau berkata bahawa beliau dan dua orang yang mengikutnya sanggup untuk menjadi tebusan. 

Jika Ayum tidak kembali, maka beliau rela kepalanya dan dua pengikutnya dipenggal atau mereka boleh melakukan apa sahaja mereka suka jika keadaan itu berlaku. Akhirnya beberapa jam kemudiannya Ayum bersetuju bertemu dengan Raja Charles Brooke. 

Perjumpaan

Ayum kemudiannya sampai ke Kapit dan dibawa ke bilik peribadi untuk berbincang dengan Raja Charles Brooke bersama-sama residen dan dua orang Iban. 

Dalam perbualan ini, Raja Charles Brooke telah menekankan bahawa penduduk lawan ini tidak harus duduk di kawasan hulu Sungai Mujong kerana ia menunjukkan konotasi bahawa mereka bermusuhan. 

Oleh itu untuk mencapai kedamaian dan persahabatan, maka mereka harus berpindah ke kawasan hilir sungai dan membayar sedikit wang kepada kerajaan. Raja Charles Brooke memberi masa 14 hari untuk mereka berundur.

Ayum yang kelihatan agak gelisah dan cemas tidak bercakap banyak. Malah beliau tidak pula menjanjikan apa yang diperkatakan oleh Raja Charles Brooke. 

Pertemuan ini menampakkan satu kegagalan untuk meyakinkan ketua pihak lawan. Ayum kemudiannya kembali ke kawasan hulu, dan Munan pula dibebaskan. 

Ekspedisi

Keengganan pihak lawan mematuhi ketetapan kerajaan menyebabkan Raja Charles Brooke mengarahkan untuk menggunakan kekerasan. Dengan itu bermulannya Ekspedisi Mujong II dilakukan pada 21 september 1881. 

Raja Charles Brooke sendiri mengepalai ekspedisi ini seperti yang pertama. Kali ini mereka lebih berjaya menekan pihak lawan. Seorang telah terkorban dari pihak kerajaan Brooke, manakala pihak lawan mengalami enam orang terkorban. 

Satu penyelesaian dilakukan dengan beberapa syarat dikenakan kepada pihak lawan. 

Pertamannya mereka diminta untuk pindah ke kawasan hilir Kapit. Dalam proses perpindahan itu, isteri dan anak mereka menjadi tebusan. Mereka juga dikenakan denda atas perbuatan mereka membunuh pedagang-pedagang sebelum ini. 

Kejayaan Ekspedisi Mujong II ini membuka lembaran baharu dalam sejarah Rajang. Ini kerana kawasan Mujong boleh diterokai untuk kepentingan ekonomi Sarawak tanpa berasa risau atau bimbang.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Banyak teknologi penerbangan moden diinspirasikan daripada haiwan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.