Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Celine Dion umum muncul semula selepas bergelut dengan masalah kesihatan
  • HIBURAN

Celine Dion umum muncul semula selepas bergelut dengan masalah kesihatan

Utusan Sarawak 11 hours ago
GAMBAR fail tangkap layar video yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Penyiaran Olimpik menunjukkan penyanyi , Celine Dion, membuat persembahan di Menara Eiffel semasa upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024, di Paris, pada 26 Julai 2024. Foto AFP

PARIS, Perancis: Penyanyi megastar, Celine Dion, semalam mengumumkan kembalinya ke pentas selepas berehat panjang akibat penyakit jarang berlaku, menyifatkan berita kemunculan semula yang diumumkan pada hari lahirnya sebagai “hadiah terbaik”.

Dalam satu video yang disiarkan di media sosial, penyanyi berusia 58 tahun itu berkata keadaannya kini semakin baik dan beliau akan mengadakan beberapa persembahan di Paris bermula September.

“Tahun ini, saya menerima hadiah hari jadi terbaik dalam hidup saya. Saya berpeluang untuk bertemu anda semua dan beraksi di hadapan anda sekali lagi,” katanya.

Menurut pihak pengurusannya kepada AFP, Dion juga dijangka mengeluarkan single baharu hasil ciptaan salah seorang komposer terkemuka, Jean-Jacques Goldman, yang mengetuai album D’eux yang menjadikannya terkenal.

Beliau dijangka mempersembahkan lagu baharu itu semasa konsert di Paris – lebih enam tahun selepas terpaksa menarik diri daripada pentas.

Konsert Courage World Tour beliau, yang dilancarkan pada penghujung 2019, dibatalkan beberapa bulan selepas bermula kerana pandemik Covid-19, diikuti masalah kesihatan penyanyi itu.

Berasa sihat

“Saya ingin memberitahu anda bahawa saya berada dalam keadaan baik, mengurus kesihatan dengan teratur, dan berasa sihat,” katanya dalam hantaran semalam.

GAMBAR menunjukkan Menara Eiffel diterangi bagi meraikan ulang tahun ke-58 penyanyi , Celine Dion, di Paris, pada 30 Mac 2026. Foto AFP

Dion pertama kali mendedahkan pada Disember 2022 bahawa beliau didiagnosis dengan Sindrom Stiff Person, sejenis penyakit autoimun yang tidak boleh disembuhkan.

Bintang kelahiran Quebec itu terpaksa membatalkan baki persembahannya tanpa had masa. Rawatan boleh membantu melegakan simptom penyakit yang menyebabkan otot kaku di bahagian badan, lengan dan kaki.

Dokumentari 2024, I Am: Celine Dion, memberi gambaran intim mengenai kerjaya penyanyi berkarisma itu dan tahap kesakitan akibat penyakitnya, termasuk pengalaman mengalami sawan.

Walaupun menghadapi diagnosis tersebut, Dion berikrar akan kembali ke pentas.

“Saya belum mati,” kata penyanyi itu kepada AFP pada 2024 di karpet merah menjelang tayangan perdana dokumentari berkenaan.

Kemudian pada tahun yang sama, Dion menyanyi dari Menara Eiffel untuk upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024, ketika atlet belayar di sungai dalam hujan lebat.

Menara Eiffel sekali lagi diterangi pada Isnin untuk Dion, apabila orang ramai berhimpun menyaksikan pertunjukan cahaya dengan mesej bertulis di sisi menara berbunyi “Paris, I’m ready”, diikuti persembahan lagu Edith Piaf, L’hymne à l’amour (Hymn to Love).

Menyanyi sekali lagi

Dion melonjak ke pentas antarabangsa pada 1988 mewakili Switzerland dalam Pertandingan Lagu Eurovision di Dublin.

Ketika berusia 20 tahun, beliau menyanyi Ne partez pas sans moi (Jangan Tinggalkan Aku) yang memenangkannya hadiah utama.

Tahun berikutnya, Dion membuka acara televisyen untuk hos Switzerland dengan lagu dimenanginya dalam bahasa Perancis.

Beliau kemudian memperkenalkan single Where Does My Heart Beat Now, menandakan peralihan kerjayanya ke bahasa Inggeris dan menempatkannya di persada carta global.

Beliau telah menjual lebih 260 juta album sepanjang kerjaya merentasi beberapa dekad serta memenangi lima anugerah Grammy – dua daripadanya untuk lagu hit My Heart Will Go On dari filem epik Titanic (1997).

Pada Isnin, Dion memberitahu peminat bahawa beliau terus merasai sokongan mereka walaupun beberapa tahun tidak berada di pentas.

“Walaupun pada saat-saat paling sukar, anda tetap di sisi saya. Anda telah membantu saya dengan cara yang sukar saya gambarkan, dan saya amat bertuah mendapat sokongan anda,” katanya, sambil menyifatkan beliau kini “menyanyi sekali lagi, malah menari sedikit.”

Dion dijadualkan mengadakan 10 persembahan sepanjang lima minggu di Paris La Défense Arena bermula 12 September. – AFP

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Chen tunai janji, hidupkan malam penuh emosi di Zepp KL

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.