SIMANGGANG: Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MINTRED) telah melaksanakan 150 program pembangunan kapasiti di seluruh Sarawak melalui kerjasama dengan pelbagai agensi dan persatuan.
Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Industri dan Pembangunan Usahawan, Datuk Malcom Mussen Lamoh berkata program-program ini telah memanfaatkan seramai 16,509 usahawan di seluruh negeri dibawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).
Katanya selain daripada menganjurkan program keusahawanan secara fizikal, MINTRED juga kini giat menganjurkan program keusahawanan secara atas talian bagi menyokong Dasar Ekonomi Digital Kerajaan Sarawak.
Antaranya ialah program Bazaar Rakyat Online Sarawakku Sayang (BROSS), bengkel Buat Duit Online melalui Youtube, bengkel Youtube bersama Cardock, bengkel Drop shipping Shoppee, Webinar: TikTok perniagaan untuk pemula, eUsahawan Online training dan banyak lagi.
“Setakat September 2020 tahun ini, sebanyak 53 program keusahawanan secara atas talian telah dilaksanakan dan berjaya memanfaatkan seramai 9,338 usahawan tempatan, termasuk usahawan mikro dan kotej,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis ‘Jum Regista Bisnes Sarawakku Sayang’ anjuran MINTRED di Dewan Suarah Sri Aman kelmarin.
Malcom berkata menurut data daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan sehingga Ogos 2020, terdapat seramai 44,015 peniaga kecil termasuk penjaja di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri Sarawak.
“Daripada bilangan berkenaan, seramai 25,663 peniaga kecil masih tidak mempunyai lesen atau permit perniagaan.
“Keadaan ini mengakibatkan mereka tidak layak untuk mendapat bantuan yang ditawarkan di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) seperti pemberian geran sebanyak RM2,250.
“Di bawah Majlis Daerah Sri Aman, seramai 2,270 penjaja masih tiada lesen perniagaan. Hanya 300 penjaja yang mempunyai lesen, permit dan dikeluarkan kupon oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” ujarnya.
Malcolm berkata Isu ini wujud kerana para peniaga tidak mengetahui dengan jelas kepentingan memiliki lesen atau permit perniagaan.
“Selain itu mereka juga tidak mengetahui prosedur permohonan lesen serta permit perniagaan terutamanya usahawan di kawasan luar bandar.
“Isu lain seperti kekurangan modal perniagaan dan tidak memiliki premis bagi mendaftar lesen perniagaan juga merupakan faktor yang menghalang para peniaga untuk mendaftarkan perniagaan mereka,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan mengadakan program Jum Regista Bisnes Sarawakku Sayang dengan objektif utama untuk memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai kepentingan memiliki lesen dan permit perniagaan untuk menjalankan perniagaan secara sah dan bagi membolehkan mereka menikmati bantuan kewangan dari pihak kerajaan mahupun swasta.
“Di samping itu, program ini juga membantu untuk mendaftar lesen serta permit perniagaan mereka menggunakan premis sedia-ada seperti Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU), Anjung Usahawan, SMA Hub dan lain-lain premis yang bersesuaian.
“Kos pendaftaran lesen perniagaan di mana-mana Pejabat Daerah adalah sebanyak RM77 sahaja. Manakala kos untuk sewaan alamat perniagaan (separuh masa) menggunakan Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU), SEDC adalah sebanyak RM100 sahaja untuk tempoh setahun,” tambah beliau lagi.
Turut hadir ADUN Lingga, Simoi Peri, Ketua Setiausaha Pembangunan Usahawan MINTRED, Awang Yusri Putra Awang Ridzuan, Pegawai Daerah Sri Aman, Ashree Wee dan Pegawai Menguasa SEDC Wilayah Betong, Mohd Aizat Dollah.
Oleh Adi Safarman