
KABONG: Usaha memperkukuh kebajikan nelayan serta meningkatkan taraf pendidikan anak-anak komuniti pesisir terus menjadi agenda utama dalam pembangunan sektor perikanan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata pendidikan merupakan asas penting dalam mengubah nasib keluarga nelayan, justeru pelbagai inisiatif perlu digerakkan bagi memastikan anak-anak golongan itu tidak tercicir dalam arus pembangunan negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat ke-23 yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Chee Kadir turut menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Pelajaran Anak Nelayan sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan keluarga nelayan dalam menyokong pendidikan anak-anak mereka.
Beliau berharap bantuan tersebut dapat menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran serta membuka peluang masa depan yang lebih cerah.
Turut mengiringi beliau dalam sesi penyampaian ialah Abang Ahmad Abang Resdi selaku Pengerusi PNK Gerigat yang membantu mengiringi penerima sumbangan dan tetamu jemputan ke pentas utama.

Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian sijil ‘Jasamu Dikenang’ sebagai tanda penghargaan kepada individu serta pihak yang telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan sektor perikanan dan aktiviti PNK Gerigat.
Penghargaan berkenaan turut diberikan kepada barisan kepimpinan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) PNK Gerigat terdahulu yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan persatuan serta komuniti nelayan setempat.
Antara penerima lain termasuk wakil sekolah seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Junid Gerigat, SK Engkabang, SK To Eman Nyabor, SK Sungai Pasir, SK Mandor Aris Selalang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong dan SMK Kalaka.
Di samping itu, beberapa individu yang aktif dalam pembangunan komuniti nelayan turut menerima pengiktirafan, khususnya mereka yang terlibat dalam usaha memperkukuh pemasaran hasil perikanan tempatan.
Penganjuran mesyuarat agung ini diharap terus memperkukuh peranan PNK Gerigat dalam menjaga kebajikan nelayan, memperkasakan ekonomi komuniti serta memajukan industri perikanan di kawasan Kabong dan sekitarnya.
Oleh Adi Safarman