
DEBAK: Pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Bandar, Debak yang bernilai RM17.9 juta disifatkan sebagai pelaburan strategik bagi menjamin masa depan generasi muda, khususnya di kawasan luar bandar Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk membaik pulih, menaik taraf dan membina semula sekolah-sekolah daif di seluruh Sarawak.
Menurut beliau, inisiatif itu penting bagi memastikan setiap pelajar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira lokasi selaras dengan agenda pembangunan pendidikan inklusif.
“Penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, moden dan lengkap akan menjadi pemangkin kepada peningkatan motivasi pelajar dan guru untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah pembinaan semula SK Datuk Bandar di Debak, hari ini, sambil menegaskan kepentingan suasana kondusif dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Tambahnya, persekitaran sekolah yang baik bukan sahaja membantu meningkatkan pencapaian akademik, malah turut menyumbang kepada pembentukan sahsiah pelajar yang lebih holistik.
Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam menyifatkan majlis pecah tanah tersebut sebagai simbol komitmen kerajaan dan masyarakat dalam memperkukuh sistem pendidikan di kawasan Debak.
Beliau berkata, projek pembinaan semula itu bukan sekadar pembangunan fizikal, sebaliknya melambangkan harapan baharu dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan berkualiti kepada generasi muda.
“Bangunan sekolah bukan sekadar struktur fizikal, tetapi simbol masa depan. Anak-anak adalah aset negara yang berhak mendapat pendidikan terbaik,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis; Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu serta Setiausaha Tetap MEITD, Datu Adana Jed.
Oleh Adi Safarman