Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Papagomo didenda RM4,000 kerana hasut, datangkan kebencian terhadap Agong
  • MAHKAMAH

Papagomo didenda RM4,000 kerana hasut, datangkan kebencian terhadap Agong

Utusan Sarawak 11 hours ago
PENULIS blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah membuat hantaran menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Foto Gambar fail

KUALA LUMPUR: Penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah membuat hantaran menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Muhammad Azri, 43, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan bekas Exco Pemuda UMNO itu menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut dan wang jaminan RM15,000 dipulangkan kepada tertuduh.

Selepas prosiding, Wan Muhammad Azri yang memakai kot berwarna hitam dilihat bersalaman dengan isterinya yang berada di galeri awam.

Pada 2 Mei 2024, Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya. 

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang di sini pada 12 tengah hari 29 April 2024, mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira latar belakang tertuduh sebagai bekas anggota polis yang seharusnya lebih memahami undang-undang.

“Dia sedar sebab dan akibat perbuatannya dengan menghasut sehingga menyebabkan kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong dalam Twitter. Dia juga bukan pesalah muda dan mengikut latar belakang, dia mempunyai pengetahuan undang-undang, namun memilih untuk membuat hantaran sedemikian di media sosial. 

“Undang-undang digubal demi menjaga ketenteraman awam, hantaran yang dibuat berbentuk kata-kata kesat yang menghina terhadap Yang di-Pertuan Agong, oleh itu hukuman denda sahaja tidak memadai kerana ia tidak mencerminkan keseriusan kesalahan tertuduh,” katanya. 

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri memohon hukuman denda ringan atas alasan anak guamnya merupakan bapa kepada lima anak dan anak bongsunya mengalami autisme yang memerlukan anggota keluarga lelaki di rumah. 

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira bahawa sepanjang perbicaraan bermula, anak guam saya telah memberikan kerjasama yang baik dan tidak pernah gagal untuk melapor diri di balai polis pada setiap bulan.

“Anak guam saya juga tidak mempunyai kesalahan lampau bagi kes berkaitan hasutan, namun beliau mempunyai dua kes berlainan dengan kes yang dibicarakan di mahkamah ini. Bagi kesalahan hasutan, ia kesalahan pertama dan saya mohon mahkamah mengenakan keseragaman dari segi hukuman,” kata peguam itu.

Muhammad Rafique ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.

Pada 24 Sept tahun lepas, Hakim Norma memerintahkan Wan Muhammad Azri membela diri terhadap pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sebelum ini, seramai tujuh saksi dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan di peringkat pendakwaan yang bermula Oktober 2024, manakala Wan Muhammad Azri merupakan saksi pembelaan.

-Bernama

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Bau kes akaun keldai
Next: Warga Malaysia dihukum penjara 21 tahun atas penyelewengan bahan api S$100 juta di Singapura

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.